KESEJAHTERAAN pelajar merupakan asas kukuh dalam menentukan kecemerlangan yang dilakar. Kesejahteraan yang tercalar dek kerana isu buli dan gengster menjadi isu yang memburukkan prestasi pelajar dan mengundang masalah pelajar tercicir. Fenomena kes gengster dan buli menjadi hangat diperkatakan sehingga kini.
Kes buli dan gengsterisme merupakan satu masalah kebejatan sosial yang menjadi duri dalam daging pada negara. Hal ini masih berleluasa dan tidak dapatĀ dibendung dengan cekap oleh pihak bertanggungjawab yang melibatkan pengurusan sekolah, kolej
mahupun IPTA atau IPTS. Isu kes membuli dan gengsterisme perlu ditangani dengan sebaiknya untuk mengelakkan perkara di luar jangkaan berlaku seperti kecederaan, kecacatan kekal, masalah mental dan kematian.
Susulan kes kematian Pegawai Kadet Laut UPNM Zulfarhan Osman Zulkarnain telah
menjadikan kes penderaan dalam kalangan pelajar menjadi buah mulut setiap orang. Kes yang melibatkan 90 tekapan seterika wap panas ke seluruh anggota badan mangsa yang dilakukan oleh rakan mangsa menimbulkan ketidakpuasan hati masyarakat. Justeru, isu membuli dan gengsterisme ini perlu diberi perhatian demi menjamin kesejahteraan pelajar.
Secara umumnya, menurut Kamus Dewan gengsterisme membawa maksud masalah gejala samseng manakala buli merupakan perbuatan mendera dan mempermainkan seseorang. Pembawakan budaya kuning gengsterisme dan buli dari barat telah menyebabkan remaja terikut dan turut serta melakukan perkara negatif ini semata-mata untuk memenuhi kepuasan diri untuk dilihat hebat dan berani. Di peringkat usia ini, remaja yang melakukan gengsterisme mempunyai tahap ego yang tinggi
dalam diri dan menimbulkan perasaan untuk menjadi hebat dalam kalangan rakannya.
Oleh itu, mereka melakukan perbuatan seperti memukul, marah, dan mendera pelajar lain untuk menunjukkan kekuatan dan kehebatan mereka. Perbuatan ini telah menimbulkan rasa takut dan hormat yang tinggi oleh pelajar lain terhadap si pelaku. Manakala bagi kes buli, kes penderaan terhadap pelajar yang lebih muda (junior) dilakukan oleh pelajar senior (pelajar yang lebih tua). Hal ini dilakukan untuk menunjukkan kehebatan dan kuasa veto yang ada pada pelajar senior.
Walau bagaimanapun, isu gengsterisme dan buli perlu diberi perhatian serius oleh pihak
bertanggungjawab. Hal ini untuk memastikan kelancaran pengajaran dan pembelajaran tanpa sebarang gangguan dan masalah disiplin yang berlaku. Antara langkah proaktif yang boleh diambil ialah pihak unit disiplin sekolah khususnya perlu menjalankan siasatan dengan baik dan terperinci. Hal ini untuk mengelakkan isu gengsterisme dan membuli menjadi parah jika tidak mengambil sebarang tindakan pada peringkat awalnya.
Guru disiplin seharusnya disarankan untuk mangambil langkah menyelidik dan mengenal pasti pelajar yang melakukan buli dan menjadi gengster di sekolah untuk diberi tindakan undang-undang dan melalui proses pemulihan. Hal ini bertujuan untuk tidak membiarkan pelajar melakukan perbuatan negatif itu secara berterusan.
Sekiranya, hal ini dapat dibendung, perkara yang mengundang kematian dan kecederaan parah dalam kalangan pelajar dapat dielakkan. Selain itu, aktiviti kerohanian perlu dipertingkatkan di peringkat sekolah mahupun institusi pengajian tinggi. Hal ini dapat membentuk keimanan dan ketaqwaan yang tinggi dalam kalangan pelajar seterusnya memberi suntikan untuk menjadi insan terbaik dalam diri pelajar. Pada masa yang sama,
kesedaran yang tinggi untuk tidak melakukan perkara negatif sesama rakan seperjuangan menuntut ilmu dapat dipupuk.
Aktiviti seperti mengaji Al-Quran, mendengar ceramah agama, kursus motivasi,
program muhasabah diri serta solat berjemaah dapat menjadi benteng dalam diri pelajar dari melakukan perkara negatif dan kemungkaran. Di samping itu, ukhwah yang kuat dan baik dapat disemai dalam kalangan pelajar dan mengeratkan hubungan di antara satu sama lain.
Antara langkah pencegahan lain ialah para pelajar tidak seharusnya dibiarkan tanpa sebarang pamantauan kerana pada peringkat ini, pelajar melalui fasa keinginan untuk mencuba melakukan sesuatu perkara, namun usia yang tidak cukup matang telah menyebabkan mereka gagal untuk menilai sesuatu perkara yang baik atau buruk untuk dilakukan. Oleh sebab itu, pelajar mudah terjebak dengan masalah disiplin sekiranya ibu bapa dan guru tidak dapat memberi sepenuh perhatian pada setiap gerak geri pelajar. Hal ini perlu diambil berat oleh ibu bapa dan warga pendidik untuk memastikan anak didik terpelihara dari melakukan masalah disiplin ini.
Oleh itu, pelbagai solusi dapat diaplikasikan kepada pelajar untuk mengelakkan kejadian
gengsterisme dan buli dari berterusan berlaku. Para pelajar seharusnya diberi perhatian yang mencukupi untuk mengelakkan mereka dari terbabas melakukan perbuatan yang tidak wajar dilakukan. Kempen pendedahan keburukan gengsterisme dan buli seharusnya diberikan perhatian oleh kerajaan untuk mengelakkan perkara ini dari terus berleluasa. Pelbagai kesan buruk dapat dilihat jika isu ini tidak dikawal dengan baik. Antaranya wujud sindrom school phobia, di mana pelajar enggan menghadirkan diri ke sekolah kerana takut dengan ancaman dan perbuatan jahat rakan sekolah. Justeru, perkara ini perlu dipandang serius dan diberi perhatian penuh untuk memastikan kesejahteraan di kalangan pelajar sentiasa wujud dan terjamin.
Konklusinya, semua pihak perlu bertanggungjawab bersama berganding bahu untuk membanteras isu gengsterisme dan buli dalam kalangan pelajar. Pendekatan solusi yang dikemukakan boleh meningkatkan tahap kesedaran dalam kalangan masyarakat khususnya pelajar untuk tidak melakukan perbuatan buruk ini. Sementelahan itu, semua pihak seharusnya menjalankan peranan masing-masing dengan baik. Oleh hal yang demikian, perkara ini dapat dibendung dan proses pembelajaran dapat berjalan dengan lancar tanpa sebarang gangguan dan tekanan dari aspek emosi dan fizikal sekali gus mewujudkan kesejahteraan dan kecemerlangan dalam kalangan pelajar.
Oleh: Dr. Abdul Rashid Bin Abdul Aziz, adalah Pensyarah Kanan, Program Kaunseling, Fakulti Kepimpinan dan Pengurusan, Universiti Sains Islam Malaysia (USIM)