KUALA LUMPUR – Universiti Multimedia (MMU) telah memindahkan Fakulti Seni Senimatik (FCA) dari kampus Iskandar Puteri Johor ke Cyberjaya baru-baru ini.
Perpindahan tersebut melibatkan semua pelajar di peringkat Asasi dan Ijazah Sarjana Muda berserta semua pensyarah dan kakitangan pentadbiran.
Presiden MMU, Datuk Dr. Mazliham Mohd Su’ud menyifatkan perpindahan berkenaan sebagai amat penting dan tepat pada masanya bagi membolehkan universiti menghasilkan graduan yang lebih kompeten dengan mengambil kira trend semasa dan permintaan pasaran.
“Dengan perpindahan ke Cyberjaya ini, para pelajar FCA akan mendapat manfaat yang besar kerana mereka boleh bergaul dengan pelajar lain daripada pelbagai disiplin,” katanya.
“Dalam pembangunan pelajar untuk jangka masa panjang, kami merasakan bahawa pelajar perlu ditempatkan dalam suasana yang terdapat pelbagai disiplin supaya mereka lebih mudah menyesuaikan diri dan berdaya saing,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Mazliham percaya perpindahan itu turut memberi manfaat kepada seluruh komuniti MMU.
“Sebagai contoh, pelajar kejuruteraan boleh mempelajari tentang proses produksi media manakala pelajar kewangan dan bidang lain akan belajar tentang bagaimana hendak mendapatkan pelaburan dalam projek perfileman dan sebagainya,” tambahnya.
Justeru, para pelajar dari pelbagai bidang boleh sama-sama memanfaatkan potensi mereka dalam silang disiplin.
Mazliham menambah, dari perspektif sumber manusia, perpindahan itu amat relevan kerana industri kreatif dan hiburan Malaysia banyak tertumpu di sekitar Lembah Klang.
“Memandangkan ramai tenaga pengajar FCA terdiri daripada pengamal industri yang aktif khususnya yang berada di Lembah Klang, ini memudahkan pihak universiti mendapatan tenaga pengajar yang berpengalaman dalam bidang perfileman" jelasnya.
Mazliham berkata, dengan kepakaran tenaga pengajar yang berpengalaman daripada industri, pelajar akan mendapat pendedahan yang lebih luas dan seterusnya meningkatkan ilmu dan kepakaran mereka.
Sebagai persediaan untuk perpindahan ke kampus Cyerjaya, MMU telah menambah kemudahan baharu selain menaik taraf beberapa kemudahan sedia ada di kampus itu.
Ini termasuk pawagam, yang akan digunakan untuk tayangan filem, kuliah dan forum. Makmal pasca-produksi untuk penyuntingan filem, kesan visual dan penggredan warna, serta studio bunyi untuk reka bentuk bunyi, dan rakaman bunyi
turut dinaik taraf.
Studio pementasan telah dipertingkatkan ciri-cirinya untuk pembikinan filem, reka bentuk set dan kesan visual, serta kemudahan produksi berbilang kamera.
Kemudahan itu untuk produksi TV, penyiaran dan rakaman studio untuk menyediakan korikulum pengajaran yang komprehensif.
Semua pelajar FCA dijangka kembali ke kampus sepenuhnya untuk sesi pengajaran dan pembelajaran pada awal tahun 2022.- MalaysiaGazette