Home Dunia Mumia berusia 800 tahun ditemui di Peru

Mumia berusia 800 tahun ditemui di Peru

Mumia yang dianggarkan berusia antara 800 dan 1,200 tahun telah ditemui oleh ahli arkeologi di Peru - Foto CNN

PERU – Mumia yang dianggarkan berusia antara 800 dan 1,200 tahun telah digali oleh ahli arkeologi di Peru, berhampiran ibu negara ini.

Penyelidik dari Universiti Kebangsaan San Marcos menemui mayat yang diawet di bawah tanah di tengah-tengah dataran bandar di tapak arkeologi Cajamarquilla, sekitar 25 kilometer ke pedalaman Lima.

Mumia itu diikat dengan tali dan tangan menutup mukanya, yang dikatakan penyelidik merupakan adat pengebumian di Peru selatan.

‘Penemuan ini memberi sinar baharu tentang interaksi dan hubungan pada zaman pra-hispanik,’ kata Pieter Van Dalen Luna, salah seorang ahli arkeologi yang mengetuai penggalian itu.

Dia memberitahu, mumia itu berkemungkinan besar seorang lelaki muda berusia antara 25 dan 30 tahun yang datang dari pergunungan ke Cajamarquilla, yang dahulunya pusat komersial yang sibuk pada era pra-Columbus.

Kerja-kerja penggalian bermula pada pertengahan Oktober dengan sepasukan 40 orang yang diketuai oleh Van Dalen Luna dan rakan arkeologi Yomira Huamán Santillan.

Penemuan itu sangat mengejutkan kerana mereka tidak mencari mumia.

‘Seluruh pasukan sangat gembira kerana kami tidak menyangka ini akan berlaku,’ kata Huamán kepada CNN.

‘Kami tidak menjangkakan untuk membuat penemuan penting seperti itu,” tambahnya.

Beberapa mumia sebelum ini telah ditemui di Peru dan negara jiran Chile, dengan kebanyakannya berusia lebih 1,000 tahun. – CNN