Home Ekonomi Operasi KL ATCC beri impak positif kepada limpahan ekonomi – PM

Operasi KL ATCC beri impak positif kepada limpahan ekonomi – PM

Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berucap pada Majlis Perasmian Kompleks Pusat Kawalan Trafik Udara Kuala Lumpur di Sepang, Selangor. Foto AFFAN FAUZI, 01 DISEMBER 2021.

SEPANG – Pengoperasian Kompleks Pusat Kawalan Trafik Udara Kuala Lumpur (KL ATCC)  di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur  tepat pada waktunya ketika negara sedang mengambil tindakan untuk memulihkan ekonomi negara.

Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, pembukaan sempadan negara kelak akan merancakkan lagi sektor penerbangan awam, yang secara langsung akan memberikan kesan positif hasil limpahan kepada ekonomi negara

Menurut beliau, melalui penyediaan sistem dan peralatan kawalan trafik udara
yang baharu dan lebih efisien ini, ianya secara langsung akan mampu mempertingkatkan tahap kecekapan perkhidmatan trafik udara negara, setanding dengan negara maju di dunia

”KL ATCC baharu secara bersepadu dan serba canggih mempertingkatkan keupayaan dan kesiapsiagaan negara untuk menghadapi situasi dunia penerbangan yang serba mencabar.

”Pertambahan jumlah pergerakan pesawat dan peningkatan kapasiti ruang udara yang akan terhasil daripada projek KL ATCC baharu ini, tentunya akan memberikan impak positif kepada sektor ekonomi negara, terutamanya dalam sektor penerbangan awam.

“Sungguhpun industri penerbangan awam telah mengalami kemerosotan yang amat ketara sejak tersebarnya pandemik Covid-19 pada awal tahun 2020, sehingga menyebabkan penutupan sempadan antarabangsa yang menjejaskan industri pengangkutan udara, trend peningkatan semula sektor ini dijangka pulih kembali menjelang tahun 2025,” kata beliau yang merasmikan KL ATCC di sini pagi tadi.

Majlis turut dihadiri oleh Menteri Pengangkutan Datuk Seri Wee Ka Siong dan Ketua Pengawai Eksekutif Agensi Penerbangan Awam Malaysia (CAAM) Chester Voo.

Menurutnya, kerajaan telah meluluskan projek KL ATCC baharu sebagai salah satu
projek pembangunan di bawah RM Ke-11 yang telah dimulakan pada 18 Januari 2016, dengan peruntukan sebanyak RM650.366 juta.

Malah jelas Ismail Sabri lagi, kejayaan pembangunan projek KL ATCC ini
sebahagian daripada pencapaian Keluarga Malaysia yang amat membanggakan berdasarkan kepada tenaga mahir tempatan yang telah digunakan dan ilmu yang ditimba dalam tempoh pelaksanaan projek ini.

Tambahnya, KL ATCC ini tentunya menjadi satu aset penting negara dalam menyokong kemajuan serta pembangunan pelbagai industri lain.

“Kejayaan ini membolehkan perkhidmatan kawalan trafik udara negara  kekal dikawal sepenuhnya oleh anak-anak tempatan dalam persekitaran kerja yang kondusif.

“Menjadi harapan saya, agar segala pengalaman yang telah diperolehi akan dapat digunakan sebaik mungkin dan menjadi panduan untuk pembangunan yang akan datang serta akan dapat mengurangkan kebergantungan negara terhadap kepakaran dan kemahiran negara asing, yang secara langsung akan mengurangkan pengaliran keluar sumber ekonomi demi menjaga kepentingan negara.

”Keadaan ini juga telah membuktikan bahawa kepakaran dan kemahiran rakyat tempatan adalah setanding dengan kepakaran dan kemahiran asing, malah mungkin dalam sesetengah aspek adalah jauh lebih baik,” ujar perdana menteri.- MalaysiaGazette