Home Politik P. Pinang gagal laksana polisi perumahan mampu milik – Gerakan

P. Pinang gagal laksana polisi perumahan mampu milik – Gerakan

GEORGE TOWN – Parti Gerakan Pulau Pinang mendakwa kerajaan DAP Pulau Pinang gagal melaksanakan polisi perumahan yang dapat menyediakan rumah mampu dimiliki oleh semua lapisan rakayt negeri itu.

Pengerusinya, Oh Tong Keong berkata, ia susulan 4,638 unit kediaman yang sudah siap dibina di negeri itu dilaporkan tidak terjual.

“Pengerusi Jawatankuasa Perumahan Pulau Pinang, Jagdeep Singh Deo dalam persidangan Dewan Undangan Negeri tempoh hari mengatakan bahawa sehingga kini terdapat 93% unit rumah daripada 4, 638 unit rumah yang tidak terjual adalah terdiri daripada rumah yang berharga lebih daripada RM300,000 dan hanya terdapat 347 unit atau 7% rumah yang tidak terjual yang berharga di bawah RM300,000.

“Saya berpendapat pengakuan Jagdeep itu menunjukkan kerajaan negeri Pulau Pinang gagal melaksanakan polisi perumahan yang mampu membantu rakyat negeri ini memiliki rumah.

“Kerajaan negeri sepatutnya melaksanakan semula polisi perumahan yang lakukan Parti Gerakan ketika memerintah iaitu dengan mewajibkan pembinaan 30% rumah kos rendah dan sederhana rendah bagi setiap projek perumahan di negeri ini agar membantu rakyat memiliki rumah masing-masing,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Tambah Tong Keong, kenyataan Jagdeep turut membuktikan polisi perumahan yang dijalankan kerajaan negeri Pulau Pinang sekarang adalah untuk membantu pihak pemaju mengaut keuntungan.

MalaysiaGazette pada Isnin lalu melaporkan sebanyak 4,683 buah rumah yang telah siap dibina membabitkan nilai RM3.66 bilion masih belum terjual di negeri ini.

Jumlah itu sekali gus meletakkan Pulau Pinang pada kedudukan kedua tertinggi yang memiliki rumah tidak terjual selepas Johor sebanyak 6,509 unit (RM4.89b); Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, 3,863 unit (RM3.1b) dan Selangor, 3,367 unit (RM2.9b). – MalaysiaGazette