KOTA TINGGI – Para penyokong JDT berdepan detik paling mengecewakan apabila pasukan kebanggaan mereka tewas merangkul kejuaraan pada aksi final Piala Malaysia edisi ke-100 malam tadi.
Meskipun tewas, namun penyokong-penyokong tegar Harimau Selatan itu tetap menyifatkan pasukan JDT sebagai hero di hati mereka.
Malah, rata-rata penyokong memuji corak permainan JDT walaupun keputusan tidak menyebelahi pasukan tersebut.
Lebih penting dan utama, pasukan JDT disifatkan memiliki semangat kental hingga mara ke peringkat final.
Muhamad Farhan Hamid, seorang pekerja swasta mengakui kecewa dengan kekalahan itu tetapi tetap berpuas hati dengan corak permainan malam tadi.
Meskipun begitu, beliau memuji kehebatan pemain KL City yang tidak boleh dipertikaikan.
“Pertama memang kecewa,sedih sebab kita sudah sampai ke final tetapi kita tidak boleh menidakkan kehebatan KL City.
“Macam saya cakap kehebatan penjaga gol KL City memang terbaik. Saya ucap tahniahlah,”katanya ketika ditemui ditemui pada program Big Screen perlawanan akhir Piala Malaysia antara JDT dan KL City anjuran DUN Penawar di Dataran Penawar,Kota Tinggi di sini malam tadi.
Sementara itu, bagi Khairul Bahari Yahaya, kekalahan JDT di tangan KL City merupakan tamparan hebat bagi peminat Harimau Selatan itu.
Mengakui terlalu kecewa dengan keputusan permainan malam tadi, beliau bagaimanapun terpaksa menerima kekalahan itu sebagai adat pertandingan.
“KL City sangat baguslah tetapi saya agak frust sebenarnya.Sebab tiada rezeki kita.
“Tetapi kita tetap sokong pemain-pemain kita. JDT tetap di hati,” katanya.
Sementara itu, dianggarkan tidak kurang 500 penonton menyaksikan perlawanan malam tadi di Dataran Pengeramg anjuran DUN berkenaan.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Penawar, Datuk Sharifah Azizah Syed Zain berkata, walaupun JDT tewas, beliau tetap berpuas hati dengan corak permainan yang ditampilkan pasukan berkenaan.
Katanya, penganjuran aktiviti itu juga dilihat mampu merapatkan ukhwah dalam penduduk setempat.
“Syukur alhamdulillah, penganjuran yang dilakukan mengikut SOP yang paling utama. Sudah tentu saya gembira kerana kita dapat kumpulkan pelbagai peringkat usia untuk sama-sama menyokong kumpulan kita, walaupun nasib tidak menyebelahi JDT.
“Pelbagai acara kita lakukan termasuk cabutan bertuah untuk penonton selain pertandingan timbang bola,” katanya ketika ditemui selepas penganjuran malam tadi.
Pada perlawanan final semalam, JDT tewas 0-2 kepada Kuala Lumpur, KL City FC, sekali gus gagal mempertahankan mempertahankan kejuaraan Piala Malaysia yang dimenangi 2019.
Manakala, ia pencapaian membanggakan buat KL City FC, selepas kali terakhir memenangi piala berprestij itu, tahun 1989. – MalaysiaGazette