Home Nasional Varian Omicron: Gunakan vaksin sedia ada – KJ

Varian Omicron: Gunakan vaksin sedia ada – KJ

Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin diiringi Ketua Pengarah Kesihatan Malaysia, Tan Sri Dr. Noor Hisham Abdullah bercakap pada sidang media mengenai perkembangan terkini Covid-19 di Kementerian Kesihatan Malaysia, Putrajaya. Foto HAZROL ZAINAL, 01 DISEMBER 2021.

KUALA LUMPUR – Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin berkata terlalu awal untuk negara membuat keputusan mengenai penggunaan vaksin lain untuk menangani varian Omicron.

Katanya, syarikat-syarikat pengeluar vaksin juga belum menjalankan sebarang kajian mengenai varian ini kerana ia masih baharu.

“Terlalu awal untuk kerajaan buat apa-apa rumusan kerana syarikat-syarikat vaksin pun tidak berapa tahu tentang keberkesanan vaksin mereka terhadap varian Omicron.

“Kalau didapati vaksin sedia ada sangat-sangat tidak berkesan kepada varian baharu, maka KKM akan membuat keputusan kelak,” katanya dalam sidang media perkembangan semasa varian Omicron dan Covid-19 di negara ini.

Untuk itu, kerajaan hanya akan menggunakan vaksin sedia ada yang telah diluluskan Bahagian Regulasi Farmasi Kementerian Kesihatan (MPRA) dan Badan Bertindak Imunisasi Covid-19 Penggalak (CITF).

“Buat masa ini strategi kita adalah untuk menggunakan vaksin sedia ada dan yang telah diluluskan penggunaannya oleh MPRA dan CITF untuk diberikan sebagai dos penggalak.

“Jadi kita guna apa sahaja yang ada dan tunggu untuk data tambahan kepada keberkesanan vaksin sedia ada terhadap varian baharu,” katanya lagi.

Dalam pada itu, Khairy berkata, penutupan sidang Parlimen merupakan langkah terakhir diambil KKM dalam mengatasi penularan Covid-19.

Bagaimanapun, Khairy berkata, setakat ini tiada keperluan untuk kerajaan berbuat demikian.

“Sekarang kita sudah ada kerangka bagaimana kita dapat menangani kes-kes positif yang wujud sekarang kita sudah ada pengalaman dalam menangani kes positif yang wujud.

“Langkah untuk menutup Parlimen dan sebagainya menjadi langkah terakhir, kalau kita dapat buat ujian dengan kerap di Parlimen selama dua hari jadi kita dapat kesan kes dan asingkan dengan cepat daripada yang lain, maka tiada keperluan untuk kita tutup Parlimen,” katanya.

Beliau berkata demikian mengulas mengenai penularan Covid-19 di Parlimen iaitu 25 dikesan pada Isnin lalu dan kemungkinan besar adalah varian Delta.

Dalam pada itu, KKM menasihatkan agar warga emas dan individu dengan komorbiditi supaya tidak membuat perjalanan ke luar negara bagi melindungi golongan ini daripada mudah dijangkiti virus varian Omicron.

“Kalau tak dapat elak, kita faham. Tetapi kalau dapat elak jangan bawa warga emas ke tempat sesak pada masa ini,” katanya lagi. – MalaysiaGazette