KUALA LUMPUR – Usaha kerajaan untuk membanteras perkahwinan bawah umur nampaknya menimbulkan rasa kurang senang kepada Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu.
Menteri Belia dan Sukan itu berkata, kerajaan sepatutnya mempertingkatkan lagi usaha dalam membanteras perkara itu agar ia dapat diselesaikan dengan lebih baik.
“Saya sendiri tidak berpuas hati dengan apa kita laksanakan.
“Sebenarnya kita semua sepatutnya buat kerja lebih lagi untuk memastikan permasalahan ini dapat rungkaikan selesaikan lebih baik,” katanya pada waktu jawab lisan di Dewan Rakyat, hari ini.
Ahmad Faizal menjawab soalan tambahan Kasthuri Patto (PH-Batu Kawan) mengenai Petunjuk Prestasi Utama (KPI) usaha kerajaan membanteras perkahwinan bawah umur.
Terdahulu, Kasthuri berkata laporan bahawa seramai 445 pelajar mengambil keputusan untuk berhenti sekolah dengan alasan ingin berkahwin merupakan satu angka yang amat membimbangkan.
Dalam pada itu Ahmad Faizal memberitahu, antara faktor dalam kajiannya yang menyebabkan perkahwinan bawah umur adalah disebabkan pendapatan rendah dan kemiskinan serta kekurangan akses kepada pendidikan dan kehadiran ke sekolah.
Jelasnya, pelbagai usaha dilakukan kerajaan dalam membendung perkara itu antaranya dengan memperbanyakkan lagi program-program bermanfaat agar dapat mengisi masa lapang mereka.
Katanya, langkah itu mampu memberi pengaruh kepada rakan sebaya dalam program baik, membuka peluang pekerjaan dan menambah kemahiran dalam pendidikan pada usia muda. – MalaysiaGazette