Home Ekonomi AmBank kekalkan unjuran pertumbuhan sektor pembuatan 3.5-4.0 peratus tahun ini

AmBank kekalkan unjuran pertumbuhan sektor pembuatan 3.5-4.0 peratus tahun ini

AmBank (M) Bhd mengekalkan unjuran pertumbuhannya untuk sektor pembuatan pada sekitar 3.5 peratus dengan peningkatan sebanyak 4.0 peratus dalam senario terbaik untuk tahun penuh 2021.

KUALA LUMPUR – AmBank (M) Bhd mengekalkan unjuran pertumbuhannya untuk sektor pembuatan pada sekitar 3.5 peratus dengan peningkatan sebanyak 4.0 peratus dalam senario terbaik untuk tahun penuh 2021.

“Peningkatan dalam sektor pembuatan akan kekal disokong oleh pembukaan semula ekonomi, prestasi tinggi subkumpulan elektrik dan elektronik, pembuat sarung tangan, petroleum dan bahan kimia; permintaan luar yang kukuh; dan harga komoditi yang menggalakkan,” kata firma penyelidikan itu dalam satu nota hari ini.

Sektor pembuatan Malaysia terus mencatatkan kemajuan apabila indeks utama – Indeks Pengurus Pembelian (PMI) IHS Markit pada bulan November meningkat kepada 52.3 daripada 52.2 pada bulan Oktober.

AmBank berkata ia menandakan peningkatan keseluruhan sektor hasil daripada penarikan semula sekatan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 3.0, sambil disokong oleh permintaan daripada ekonomi global, terutamanya dari rantau Asia-Pasifik.

“Ini walaupun terdapat gangguan rantaian bekalan yang berterusan mengekang prestasi pembuatan sebenar,” katanya.

AmBank berkata ia masih memerhatikan faktor-faktor yang mampu menimbulkan ancaman besar kepada kemajuan pemulihan kerana ia boleh menarik ekonomi kembali kepada kemelesetan jika ia menjadi kenyataan.

Varian Omicron yang baharu ditemui telah menjadi risiko yang ketara, ditambah pula dengan tekanan ke atas pengeluaran disebabkan isu rantaian bekalan yang berterusan, tambahnya.

— BERNAMA