Home Nasional HRD Corp kini agensi pusat program pembangunan modal insan – Perdana Menteri

HRD Corp kini agensi pusat program pembangunan modal insan – Perdana Menteri

KUALA LUMPUR – Perbadanan Pembangunan Sumber Manusia (HRD Corp) akan berperanan sebagai agensi pusat untuk semua program pembangunan modal insan selaras penjenamaan semula agensi itu di bawah Kementerian Sumber Manusia (KSM)  hari ini.

Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata kerajaan juga telah menetapkan bahawa semua latihan peningkatan dan kepelbagaian kemahiran diletakkan di bawah satu kementerian sahaja iaitu KSM yang dikendalikan HRD Corp bagi mengelakkan pertindihan.

“Usaha ini akan diterjemahkan melalui platform bersepadu atau ‘single window’ untuk rakyat Malaysia mencari dan memohon program pembangunan kemahiran yang ditawarkan oleh kerajaan.

Platform bersepadu ini akan diakses lebih sejuta rakyat  Malaysia pada tahun hadapan,” katanya ketika melancarkan jenama baharu HRD Corp dan platform sehenti Program Kemahiran Upskill Malaysia di sini hari ini.

Ismail Sabri berkata sebanyak 5,000 kursus akan ditawarkan oleh pelbagai kementerian dan agensi kerajaan dan dijangka akan disertai 220,000 peserta menerusi pembiayaan kerajaan.

Perdana Menteri berkata beliau yakin HRD Corp yang dahulu dikenali sebagai Pembangunan Sumber Manusia Berhad (HRDF) mampu terus menyokong visi Malaysia untuk menjadi sebuah negara berpendapatan tinggi berteraskan ekonomi digital, melalui pembangunan Keluarga Malaysia.

“Ini selaras dengan aspirasi kerajaan yang termaktub dalam Rancangan Malaysia ke-12 (RMK-12), berteraskan Wawasan Kemakmuran Bersama 2030,” katanya.

Ismail Sabri berkata dua dimensi utama RMK-12, iaitu Pemerkasaan Ekonomi dan Perekayasaan Sosial sememangnya memerlukan inisiatif yang mencipta peluang pekerjaan dan latihan kemahiran untuk segenap masyarakat.

Beliau berharap HRD Corp akan dapat memberikan manfaat serta impak yang besar kepada negara untuk jangka panjang, selaras dengan misi agensi itu untuk meningkatkan taraf kehidupan rakyat Malaysia melalui pembelajaran sepanjang hayat dan memenuhi keperluan pekerjaan masa hadapan.

“Menjadi harapan saya agar HRD Corp akan terus menyokong usaha pembangunan modal insan melalui lebih banyak program kemahiran, peningkatan kemahiran dan kemahiran semula yang akan memberi manfaat kepada Keluarga Malaysia,” katanya.

Ismail Sabri berkata sejak penubuhannya pada tahun 1993, HRD Corp telah memainkan peranan yang signifikan di dalam membentuk tenaga kerja yang berkemahiran tinggi melalui pelbagai skim latihan dan meningkatkan produktiviti bidang perindustrian negara.

Katanya, peranan agensi itu menjadi semakin penting sepanjang tempoh 18 bulan ini, apabila ia memperkenalkan pelbagai program untuk melindungi pekerjaan sedia ada dan mencipta peluang baharu untuk rakyat Malaysia.

“Ini termasuk program latihan kemahiran dan penjanaan pendapatan, PENJANA HRDF yang diperkenalkan pada Jun 2020 dan telah membantu hampir 100,000 peserta menerusi lima skim utama iaitu Place & Train, B40 Development (Pembangunan B40), Gerak Insan Gemilang (GIG), Industrial Revolution 4.0 (Revolusi Perindustrian 4.0) dan SME Development (Pembangunan PKS),” katanya.

HRD Corp juga antara lain telah memperkenalkan hab pembelajaran dalam talian percuma, e-LATiH, yang kini mempunyai seramai 154,000 pelajar berdaftar dan 400,000 enrolmen dalam lebih 400 kursus kemahiran pelbagai.

Ismail Sabri berkata HRD Corp juga terus memperkasa fungsi utamanya iaitu pengumpulan levi dan pengagihan dana untuk program latihan kemahiran oleh majikan berdaftar dan sepanjang tahun lalu telah mengagihkan hampir RM420 juta untuk program latihan kemahiran majikan berdaftar, merangkumi lebih 416,000 pekerja.

Katanya, jumlah pungutan levi untuk tahun ini dijangka mencecah RM680 juta dan sebahagiannya telah digunakan untuk melatih 500,000 pekerja, selaras dengan perluasan Akta Pembangunan Sumber Manusia Bhd  2001 yang menyaksikan peningkatan majikan berdaftar dengan agensi itu daripada 33,000 kepada 65,400 majikan.

“Jumlah ini menunjukkan peningkatan lebih 96 peratus melibatkan hampir empat juta pekerja dalam tempoh setahun,” katanya.

Perdana Menteri berkata beliau yakin HRD Corp akan menjadikan pengurusan latihan lebih sistematik dan dapat memberi tumpuan penuh terhadap latihan berdasarkan keperluan semasa pihak industri.

Hadir sama, Menteri Sumber Manusia Datuk Seri M Saravanan dan Pengerusi Lembaga Pengarah HRD Corp Datuk Seri Jamil Salleh.

Sementara itu, Saravanan ketika berucap berkata kerajaan menyasarkan untuk melatih sebanyak 220,000 rakyat Malaysia menjelang 2022 menerusi portal itu yang kini menawarkan lebih 200 program dalam 35 bidang kemahiran.

Beliau berkata HRD Corp juga akan melancarkan inisiatif lain sepanjang fasa pemulihan ekonomi negara untuk memastikan peningkatan kebolehan modal insan Malaysia.

“Ini termasuklah platform beli-belah dalam talian Jana’Preneur dan program latihan kemahiran serta penempatan bekas banduan iaitu Second Chances and Opportunities for People to Excel (Scope) dan memperkenalkan pembaharuan kepada Pusat Sumber Manusia Kebangsaan (NHRC) yang bakal memainkan peranan penting sebagai ‘think tank’ di peringkat nasional.

“Penjenamaan semula ini juga menyaksikan peluasan akta yang kini merangkumi 18 sektor utama dan 238 industri yang bakal meningkatkan peluang latihan kemahiran kepada lebih 6.1 juta pekerja dalam masa beberapa tahun lagi,” katanya.

Saravanan berkata penjenamaan semula itu juga menunjukkan komitmen dan hala tuju baharu agensi itu sebagai ‘primary custodian’ pembangunan kemahiran dan modal insan untuk rakyat Malaysia.

— BERNAMA