KUALA LUMPUR – Pembangkang hari ini mendesak Dewan Rakyat membahaskan isu kenaikan harga barang yang membelenggu rakyat ketika ini.
Beberapa anggota dewan dari blok pembangkang mahu supaya isu nasional itu dibentangkan di dalam Dewan dan bukannya di kamar khas.
Perkara tersebut dibangkitkan Datuk Seri Salahuddin Ayub (PH-Pulai) yang memberitahu, isu tersebut perlu dibincangkan segera kerana ia telah menekan rakyat terutama di peringkat bawahan.
Katanya, beliau ada menerima surat daripada seorang individu bernama Shamsuri Mohd Zain yang mengadu sangat terkesan dengan masalah kenaikan harga barang yang melampau ketika ini.
“Saya minta agar perkara ini dapat dibahaskan segera kerana rakyat di luar sana menderita dengan kenaikan harga barang pada masa ini,” katanya.
Menjawab mengenai perkara itu Timbalan Yang di-Pertua Dewan Rakyat, Datuk Mohd Rashid Hasnon menegaskan, perkara yang dibangkitkan telahpun mendapat perhatian Tan Sri Azhar Azizan Harun bahawa isu tersebut akan dibincangkan di kamar khas yang akan berlangsung pukul 2.30 petang ini.
Katanya, ia akan disertai Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan hal Ehwal pengguna, Datuk Seri Alexander Nanta Linggi.
Mendengar jawapan tersebut, Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim kemudian bingkas dari tempat duduknya dan menggesa agar perbincangan mengenai perkara itu dapat dibuat di dalam dewan dan bukannya di kamar khas tersebut.
Beliau mendesak agar Timbalan Speaker menyatakan perkara itu kepada Azhar agar perbincangan mengenai isu berkenaan dapat disertai ahli-ahli Dewan Rakyat dan bukannya hanya kepada pihak-pihak tertentu sahaja.
“Ini isu rakyat sepatutnya ia dibincangkan di dalam Dewan bukan di dalam kamar khas…saya minta agar ada satu ketetapan untuk membincangkan perkara ini kalau bukan hari ini, esok.
“Perkara ini penting kerana rakyat diluar sana ada yang tak makan sayur, tak makan ayam sebab harga mahal. Jadi, kena bincang isu ini segera,” ujarnya yang merupakan Ahli Parlimen Port Dickson.
Hujah Anwar itu disokong , Datuk Seri Saifuddin Nasution ((PH-Kulim bandar Baharu) yang mendakwa Alexander hanya akan mengulangi apa yang pernah disampaikan ketika menjawab soalan di dalam dewan dua hari lalu sekiranya hanya beliau yang mewakili kementeriannya dipanggil dalam mesyuarat khas pada petang ini.
Ujarnya, jika perbincangan dibuat di dalam dewan semua pihak yang terlibat dapat mengambil bahagian sekaligus menyelesaikan isu yang menjadi kebuntuan rakyat ketika ini.
Sementara itu, Datuk Mahfuz Omar (PH-Pokok Sena) bersetuju dengan gesaan Anwar itu dan berkata isu berkenaan melibatkan ‘Keluarga Malaysia’.
“Saya mohon cadangan ketua pembangkang supaya isu berat seperti ini perlu dibahaskan di Dewan Rakyat,” katanya. – MalaysiaGazette