Home Nasional Pengambilan pelajar perubatan tertakluk kepada kuota – Noraini

Pengambilan pelajar perubatan tertakluk kepada kuota – Noraini

Noraini Ahmad Higher Education IPT IPTS IPTA back to campus
Noraini Ahmad

KUALA LUMPUR – Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) mengambil dua pendekatan bagi memastikan imbangan terhadap pengambilan pelajar fakulti perubatan dan fakulti undang-undang dalam usaha memastikan bidang itu mendapat permintaan di pasaran kerja dan memenuhi aspirasi negara

Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Seri Noraini Ahmad berkata, dua perkara itu adalah melaksanakan penilaian kapasiti pengambilan pelajar perubatan di IPT (institusi pengajian tinggi) setiap lima tahun.

Katanya, ia dilaksanakan berdasarkan penilaian yang ketat oleh Agensi Kelayakan Malaysia (MQA) bagi memastikan jumlah pengambilan pelajar yang munasabah mengikut keperluan semasa negara.

“Ketika ini, kapasiti pengambilan pelajar perubatan di IPT dalam negara adalah berdasarkan kuota sedia ada, iaitu sebanyak 4,820 pelajar bagi semua IPT.

“Memperkemas mekanisme kelulusan penubuhan fakulti dan penawaran program baharu perubatan melalui penubuhan Jawatankuasa Teknikal Program Sarjana Muda Perubatan dan Sarjana Muda Pembedahan Pergigian.

“Jawatankuasa dipengerusikan oleh Ketua Pengarah Pendidikan Tinggi turut dianggotai oleh wakil KKM (Kementerian Kesihatan Malaysia), Majlis Perubatan Malaysia, Majlis Pergigian Malaysia, Majlis Dekan Perubatan, Majlis Dekan Pergigian dan MQA. Jawatankuasa ini berperanan menilai semula permohonan-permohonan baharu,” katanya pada waktu pertanyaan Menteri di Dewan Rakyat, hari ini.

Beliau menjawab pertanyaan Ahli Parlimen (PH-Bukit Bendera), Wong Hon Wai yang meminta KPT menyatakan jumlah graduan yang tamat pengajian di bidang Fakulti Perubatan dan Fakulti Undang-undang IPTA dan IPTS pada tahun 2020-2021.

Beliau turut bertanya sama ada angka tersebut melebihi keperluan pasaran kerja dan apakah strategi untuk memastikan satu imbangan yang sihat antara keperluan dan permintaan pasaran kerja dan aspirasi negara.

Dalam pada itu Noraini berkata, bagi maksud program undang-undang pula, pada tahun 2020, seramai 1,704 orang graduan telah dikeluarkan oleh IPT tempatan.

Katanya, ia merangkumi 1,098 orang graduan UA (Universiti Awam) dan 606 orang graduan IPTS.

Secara relatifnya kata beliau, nisbah peguam kepada penduduk di Malaysia adalah selaras dengan nisbah peguam kepada penduduk di beberapa negara lain.

Tambahnya, berdasarkan Laporan Kajian Semakan Semula Moratorium Undang-Undang pada 2017, United Kingdom yang mempunyai penduduk seramai 63.74 juta orang mempunyai nisbah peguam kepada penduduk sebanyak 1:500.

Bagi negara Korea pula kata beliau, 1:3,891 sementara Singapura pula, 1:1,203.

Jelasnya, berdasarkan unjuran peningkatan penduduk negara ini, seorang peguam berkhidmat kepada 1,305 penduduk (1:1,305) pada 2020 berbanding 1:1,857 pada 2016.

“KPT sedang menjalankan Kajian Impak dan Hala Tuju Pengajian Undang-undang di Malaysia bagi meneliti impak moratorium ke atas graduan undang-undang serta mengenal pasti cadangan penambahbaikan bagi memantapkan lagi penawaran program
undang-undang,” tambahnya. – MalaysiaGazette