Home Nasional PM hadir menonton konsert OKU

PM hadir menonton konsert OKU

Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob melihat hasil seni lukisan semasa hadir ke Program OKU Sentral bertema "Kau&Aku" Sempena Hari OKU Sedunia di Damansara Performing Arts Center, Empire Damansara, Petaling Jaya. Foto MOHD ADZLAN, 02 DECEMBER 2021.

DAMANSARA – Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri malam ini hadir menyaksikan konsert mini golongan Orang Kurang Upaya (OKU) iaitu Kau & Aku sempena Hari OKU Sedunia di Damansara Performing Art Centre di sini.

Konsert anjuran Persatuan OKU Sentral (OKU Sentral) itu merupakan antara beberapa siri konsert mini dan pameran seni yang diadakan sejak tiga lalu.

Presiden OKU Sentral, Senator Datuk Ras Adiba Radzi berkata, pihaknya berbesar hati kerana Ismail bersama menteri Kabinet dapat meluangkan masa untuk meraikan hari golongan OKU itu.

“Bagi pihak komuniti OKU di Malaysia, saya mesti mengatakan diiktiraf sebagai sebahagian daripada keluarga Malaysia adalah satu langkah penting untuk mendapat maruah bagi setiap individu.

“Pada satu peringkat, Malaysia kini semakin matang sebagai masyarakat bertaraf dunia dan secara peribadi, ia adalah mengenai maruah,” katanya.

Tema Hari OKU Sedunia tahun ini adalah kepimpinan dan penyertaan OKU ke arah dunia pasca Covid-19 yang inklusif, boleh diakses dan mampan.

Ismail Sabri sebelum ini telah mengiktiraf bahawa golongan OKU adalah komponen penting dalam visi beliau untuk Keluarga Malaysia.

Dianggarkan sebanyak 15 peratus daripada populasi adalah OKU di negara ini, komuniti ini kekal sebagai segmen penting masyarakat yang memerlukan pemerkasaan lagi untuk memastikan negara berkembang secara mampan dan inklusif.

Sementara itu, Ras Adiba menambah, konsert mini Kau & Aku itu adalah idea inklusif yang mencerminkan keterangkuman konsep Keluarga Malaysia.

Jelas beliau, komuniti OKU mahu menjadi sebahagian daripada visi bersama iaitu Malaysia yang mampan dan berjaya.

“Penyanyi, penari, pemuzik dan artis yang ditampilkan adalah khusus daripada komuniti OKU kami.

“Mereka tidak membiarkan kecacatan menghalang perjalanan golongan itu untuk menjadi bakat kreatif yang bertaraf dunia.

“Penghibur dan artis ini merangkumi intipati konsep Keluarga Malaysia dan apa yang saya percaya ia bermakna untuk seluruh negara tanpa mengira bangsa, kepercayaan, umur atau kemampuan,” katanya.

Ras Adiba turut meluahkan rasa syukur kerana diberi peluang untuk melaksanakan misi OKU Sentral dalam mewakili dan memperkasakan golongan OKU.

“Saya amat berterima kasih kepada rakan-rakan OKU yang berbakat dan sudi untuk mempersembahkan dan mempamerkan karya seni mereka kerana ia penting untuk kita berkongsi bakat dan kemahiran mereka.

“Saya juga ingin merakamkan ucapan terima kasih yang tidak terhingga kepada semua rakan kongsi dan penyokong program kami,” katanya.

Antara rakan kongsi itu adalah CIMB Bank Berhad, Yayasan CIMB, Yayasan Hasanah, Yayasan Sime Darby, Yayasan Telekom Malaysia, Agensi Pembangunan Ekonomi Kebudayaan (CENDANA), We & I, Don’s Warong, Stylo Studio, Neutrovis, Do One dan Glenreagh Sdn Bhd..

Sementara itu, turut hadir pada konsert itu adalah Menteri Komunikasi dan Multimedia, Tan Seri Annuar Musa dan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Rina Mohd. Harun. – MalaysiaGazette