Home Utama Undi18: Pendaftaran automatik berkuat kuasa 15 Dis

Undi18: Pendaftaran automatik berkuat kuasa 15 Dis

Foto hiasan

KUALA LUMPUR – Pendaftaran secara automatik pengundi berusia 18 tahun ke atas telah diwartakan dan akan berkuat kuasa pada 15 Dis ini.

Perkara itu dinyatakan dalam Warta Kerajaan Persekutuan bertarikh 1 Dis yang disiarkan Jabatan Peguam Negara yang turut menyatakan nama Setiausaha Jemaah Menteri Tan Sri Mohd Zuki Ali.

“Pada menjalankan kuasa yang diberikan oleh subsekyen 1(2) Akta Perlembagaan (Pindaan) 2019 [Akta A1603], Yang di-Pertuan Agong menetapkan 15 Disember 2021 sebagai tarikh Seksyen 3 Akta itu mula berkuat kuasa,” menurut warta itu.

Seksyen 3 Akta Perlembagaan (Pindaan) 2019 menyatakan pindaan terhadap umur bagi warganegara yang layak mengundi dari 21 tahun kepada 18 tahun dan membenarkan pendaftaran pengundi secara automatik bagi menggantikan sistem semasa yang menyaksikan rakyat Malaysia perlu memohon untuk mendaftar sebagai pengundi.

Sebelum ini, cadangan pindaan itu telah diluluskan pada mesyuarat kedua sesi kedua Parlimen ke-14 pada Julai 2019, namun tidak dilaksanakan.

Pada 7 Sept lepas, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-Undang), Datuk Seri Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar, mengarahkan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) melaksanakan Undi18 menjelang 31 Dis ini bagi mematuhi keputusan Mahkamah Tinggi Kuching.

Pada 6 Sept lepas, Mahkamah Tinggi Kuching, Sarawak memerintahkan SPR dan kerajaan melaksanakan Undi18 menjelang 31 Dis ini.

Pesuruhjaya Kehakiman Alexander Siew How Wai membuat keputusan itu selepas membenarkan permohonan semakan kehakiman lima anak muda yang menggesa kerajaan melaksanakan segera pindaan Perlembagaan Persekutuan berkaitan penurunan umur mengundi daripada 21 kepada 18 tahun.

— BERNAMA