KUALA LUMPUR – Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL), penaja utama pasukan Kuala Lumpur City FC (KL City) dan Kementerian Wilayah Persekutuan dengan kerjasama Persatuan Bolasepak Kuala Lumpur (KLFA) dan KL City akan mengadakan victory parade bagi meraikan kejayaan pasukan bola sepak KL City menjadi Juara Piala Malaysia edisi yang ke-100 esok.
Ini membolehkan warga Kuala Lumpur melihat secara lebih dekat piala tersebut dan pemain-pemain pasukan bola sepak KL City yang turut serta dalam victory parade itu, kata Presiden Kuala Lumpur (KL) FC, Tan Sri Annuar Musa.
Acara itu dijadual bermula di Dataran Merdeka, sekitar pukul 4.45 petang, akan melewati Jalan TAR, Campbell, Jalan Raja Laut, Kampong Baru, Jalan Sultan Ismail, Jalan Ampang, bangunan KLCC, KL Tower, sekitar Bukit Bintang dan seterusnya akan berhenti di Stadium Bola Sepak Cheras.
Di stadium, akan diadakan persembahan oleh artis-artis Kuala Lumpur dan tempatan untuk para penyokong sementara menunggu ketibaan Piala Malaysia dan para pemain.
Persembahan ini dijangka bermula pada jam 5 petang sehingga jam 6.30 petang.
”Memandangkan kejuaraan ini amat bersejarah, iaitu ia merupakan kejuaraan siri ke-100 dan juga merupakan hadiah bermakna menjelang sambutan ulangtahun ke-50 Bandaraya Kuala Lumpur, saya ingin mengajak penyokong-penyokong pasukan bola sepak Kuala Lumpur untuk bersama-sama meraikan kejayaan pasukan Kuala Lumpur City FC ini,” kata Annuar.
Para penyokong juga boleh meraikan kejayaan pemain-pemain di sepanjang perjalanan dengan mengibarkan bendera Kuala Lumpur dan Wilayah Persekutuan dan dijemput juga untuk berada di Stadium Bola Sepak Cheras bagi menyambut ketibaan Piala Malaysia dan pemain-pemain bola sepak KL City di sana. – MalaysiaGazette