Home Ekonomi Bank jangan ambil tindakan terhadap peniaga terjejas Covid-19 – PM

Bank jangan ambil tindakan terhadap peniaga terjejas Covid-19 – PM

Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob menyempunakan gimik pelancaran sambil diiringi Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi Tan Sri Noh Omar (dua kiri) dan Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican (dua kanan) pada Majlis Sambutan Hari Penjaja dan Peniaga Kecil Keluarga Malaysia 2021 & Pelancaran Program Transformasi Pasar Malam KPKT di Tapak Pasar Malam Presint 2, Putrajaya. Foto AFFAN FAUZI, 03 DISEMBER 2021.

PUTRAJAYA – Institusi perbankan diminta membuat pertimbangan dengan tidak mengambil tindakan undang-undang kepada peniaga kecil dan penjaja yang masih gagal membayar pinjaman buat masa ini.

Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, bank-bank diminta supaya mengikut langkah sama yang dilaksanakan oleh institusi kewangan di bawah Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (MEDAC).

Katanya, institusi di bawah kerajaan itu tidak mengambil tindakan terhadap peniaga kecil dan penjaja yang gagal menjelaskan pembiayaan hingga Jun depan berikutan sektor perniagaan terjejas akibat pandemik.

“Saya berharap bank lain di bawah kerajaan melakukan tindakan sama seperti institusi di bawah MEDAC. Kita ada bank seperti Bank Simpanan Nasional dan Bank Pembangunan.

“Selain itu, saya turut menyeru kepada bank konvensional membuat pertimbangan sewajarnya supaya tidak mengambil tindakan undang-undang kepada peniaga dan penjaja kecil,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan Hari Penjaja dan Peniaga Kecil Keluarga Malaysia 2021 (HPPK 2021) dan pelancaran Program Transformasi Pasar Malam di sini hari ini.

Menurut Perdana Menteri, langkah tersebut diambil oleh institusi kewangan di bawah MEDAC seperti Bank Rakyat, SME Bank, Tekun Nasional (TEKUN) dan Amanah Ikhtiar Malaysia (AIM).

“Saya ucapkan setinggi-tinggi tahniah kepada Menteri MEDAC, Tan Sri Noh Omar kerana mengumumkan perkara itu,” ujarnya.

Terdahulu sebelum ini, Noh ketika menggulung perbahasan Rang Undang-undang Perbekalan 2022 (Bajet 2022) peringkat jawatankuasa bagi MEDAC di Dewan Rakyat menegaskan, institusi kewangan di bawah kementerian itu tidak akan mengambil tindakan undang-undang terhadap usahawan yang tidak dapat membayar balik pinjaman mereka pada masa ini. – MalaysiaGazette