Home Nasional Johor kaji skim perjalanan ke Singapura guna kenderaan persendirian

Johor kaji skim perjalanan ke Singapura guna kenderaan persendirian

Tee Siew Kiong ( kanan)
JOHOR BAHRU – Skim perjalanan menggunakan kenderaan persendirian antara Malaysia dan Singapura perlu diwujudkan selepas pelaksanaan Laluan Perjalanan Vaksinasi ( VTL) darat menggunakan bas.
Penasihat Menteri Besar Johor, Datuk Tee Siew Kiong berkata, cadangan skim perjalanan baharu itu akan dibincangkan bersama kerajaan Pusat terlebih dahulu.
Katanya, hubungan akrab pemimpin tertinggi kedua-dua negara memungkinkan cadangan tersebut dapat direalisasikan dengan mengambil kira prosedur operasi standard (SOP) dan perkembangan terkini pandemik Covid-19.
“Kita ambil perhatian tentang keperluan wujudkan skim perjalanan baharu. Perkara ini akan dibincangkan lebih lanjut. Jika skim laluan VTL darat lancar, tiada sebab tidak buka perjalanan untuk kenderaan yang lain pula termasuk kenderaan persendirian.
” Pada masa sekarang banyak berita positif Malaysia-Singapura ini termasuklah lawatan  Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob bagi memenuhi jemputan Perdana Menteri, Lee Hsien Loong pada hari pertama VTL darat pada Isnin lalu” katanya  ketika ditemui di Terminal Pengangkutan Awam Bas Larkin Sentral di sini.
Sebelum ini, seramai 46 pengembara bagi kumpulan pertama tiba di Larkin Sentral, di sini dari Singapura melalui VTL Darat.
Kesemua pengembara tiba di terminal bas menaiki bas TranStar pada pukul 9.10 pagi disambut Siew Keong.
Mereka adalah kumpulan pertama rakyat Malaysia dan pengembara yang menggunakan VTL Darat yang menyeberangi Tambak Johor buat pertama kali sejak hampir dua tahun sempadan antarabangsa ditutup akibat penularan wabak Covid-19.
Kesemua pengembara perlu menjalani ujian pengesanan pantas (RTK), ‘On Arrival Test’ (OAT) COVID-19 semasa ketibaan mereka di balai ketibaan Larkin Sentral.
Perjalanan darat antara Singapura dan Johor Bahru hanya merangkumi pemegang pas jangka panjang bagi mereka yang bekerja di Singapura dan Johor Bahru.
Selain diwajibkan divaksinasi penuh, laluan VTL hanya  menggunakan bas sebagai mekanisme pengangkutan.
Perkhidmatan bas VTL darat ditetapkan ke Singapura menerusi Terminall sebagai lokasi turun naik penumpang di Malaysia manakala Terminal Queen Street dijadikan pusat turun naik penumpang di Singapura.-MalaysiaGazettte