Home Nasional Kempen agresif pastikan 1.03 juta dewasa lengkap vaksinasi – KJ

Kempen agresif pastikan 1.03 juta dewasa lengkap vaksinasi – KJ

Khairy Jamaluddin

PUTRAJAYA – Kempen secara agresif akan dilakukan bagi memastikan seramai 1.03 juta dewasa di negara supaya mengambil dua dos lengkap vaksin Covid-19.

Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin Abu Bakar berkata, pihaknya akan mengadakan perbincangan mengenai perkara terbabit dengan semua pihak terlibat.

Menerusi perbincangan itu, Kementerian Kesihatan (KKM) akan memastikan mereka yang belum lagi mengambil dos lengkap vaksinasi supaya tampil menerimanya demi perlindungan diri.

“Kita juga akan melihat kepada kumpulan pekerja asing dan akan bekerjasama dengan NGO untuk memastikan dalam kalangan pekerja asing yang mungkin ada kerisauan lagi tidak memperolehi vaksinasi dan ada juga rakyat kita yang belum menerima vaksinasi,”  katanya dalam sidang media khas di kementeriannya hari ini.

Beliau berkata demikian ketika diminta menegulas mengenai 1.03 juta dewasa yang masih belum menerima dua dos lengkap serta tindakan susulan ke atas mereka.

Tambah Khairy, KKM juga akan memperhebatkan lagi kempen pemberian dos penggalak melalui penambahbaikan kapasiti yang diumumkan pihaknya beberapa hari lalu.

“Kita juga akan memperhebatkan kempen pemberian dos penggalak bagi memastikan rakyat tahu betapa pentingnya dapatkan dos penggalak.

“Pada minggu hadapan KKM akan berbincang dan sekiranya didapati ada keperluan kita akan membuat pengumuman mengenai status vaksinasi penuh yang memerlukan dos penggalak.

“Kita nak semua yang menerima dua dos dapat dos penggalak juga, sekurangnya 75 peratus daripada penerima dua dos lengkap mendapatkan dos penggalak ini,” ujarnya.- MalaysiaGazette