KUANTAN – Polis Pahang merekodkan sebanyak 40 laporan polis diterima berhubung kes penipuan tawaran kerja yang melibatkan kerugian RM 418,340 dalam tempoh September hingga November tahun ini.
Ketua Polis Pahang, Datuk Ramli Mohamed Yoosuf berkata, modus operandi sindiket ini adalah dengan menggunakan kemudahan media sosial menawarkan peluang kerja sebagai ejen syarikat untuk membeli barangan yang diiklankan melalui platform e-dagang.
“Antara sosial media yang popular digunakan seperti whatsapp facebook, dan instagram untuk pengkilanan sebagai ejen syarikat platform e-dagang seperti Zalora, Shopee, Lazada dan sebagainya.
“Mangsa yang tertarik dengan tawaran kerja tersebut diarahkan oleh sindiket untuk membeli barangan di platform e-dagang itu,” katanya menerusi kenyataan.
Jelas Ramli dalam kes tersebut, pembayaran yang dibuat oleh mangsa bukan untuk pembelian, tetapi bertujuan menaikkan rating barangan tersebut di dalam platform e-dagang berkenaan.
Tambah, mangsa dijanjikan komisen dalam anggaran 10 hingga hingga 15 peratus bergantung kepada jumlah pembelian barang terbabit melalui platform e-dagang.
Seterusnya, kata beliau, mangsa diarahkan untuk membuat pembayaran bagi pembelian produk yang diiklankan itu ke akaun bank yang diberikan oleh sindiket.
“Akaun bank tersebut juga dipercayai dimiliki keldai akaun dimana pemilik akaun adalah pihak ketiga,” ujarnya.
Menurut Ramli, polis percaya kes sebegini semakin meningkat atas sebab ramai kehilangan kerja dalam waktu pandemik Covid-19 dan memerlukan pekerjaan tanpa disedari telah tertipu. – MalaysiaGazette