Home Nasional Rakaman CCTV lelaki diseret pengawal keselamatan berlaku Oktober lalu

Rakaman CCTV lelaki diseret pengawal keselamatan berlaku Oktober lalu

Mohamad Fakhrudin Abdul Hamid

KUALA LUMPUR – Satu rakaman televisyen litar tertutup (CCTV) yang tular sejak semalam memaparkan seorang lelaki dalam keadaan tidak sedarkan diri diheret keluar oleh dua pengawal keselamatan di Ara Damansara, dekat sini disahkan berlaku pada 15 Oktober lalu.

Menurut Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, Asisten Komisioner Mohamad Fakhrudin Abdul Hamid, pihaknya menerima laporan dari sebuah hospital kerajaan memaklumkan mengenai seorang lelaki warga tempatan dijumpai dalam keadaan tidak sedarkan diri.

“Hasil siasatan mendapati mangsa yang berusia 59 tahun itu ditemui dalam keadaan tidak sedarkan diri dan disahkan meninggal dunia oleh petugas kesihatan di tempat kejadian.

“Siasatan di lokasi turut dijalankan oleh unit forensik dan saksi bebas termasuk pengawal keselamatan warga tempatan telah diambil keterangan bagi membantu siasatan,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Mengulas lanjut, Mohamad Fakhrudin berkata, mayat dibawa ke Unit Patologi Universiti Malaya untuk bedah siasat bagi mengetahui punca kejadian.

Jelasnya lagi, hasil laporan awal tiada kecederaan fizikal atau dalaman yang boleh menyebabkan kematian selepas proses bedah siasat dijalankan.

“Namun polis masih menunggu laporan lengkap bedah siasat untuk mengesahkan punca kematian.

“Sekiranya laporan yang diterima menjurus kepada pelakuan jenayah atau kecuaian yang menyebabkan kematian mangsa, polis akan mengambil tindakan tegas kepada mereka yang terlibat.

“Buat masa ini, kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut,” ujarnya.

Dalam pada itu, beliau turut menasihati orang ramai supaya tidak menyalahgunakan media sosial dan memastikan kesahihan berita sebelum menularkannya. – MalaysiaGazette