Home Seni Hidup Spr8love bantu usahawan tempatan pasar lebih 500 produk

Spr8love bantu usahawan tempatan pasar lebih 500 produk

Pengasas Spread Love, Narzeenas Ibarhim sempena rumah terbuka Spread Love di Subang Bestari Shah Alam, Selangor. Foto AMIRUL SHAUFIQ 04 DECEMBER 2021.

SHAH ALAM – Spr8love yang merupakan pusat sehenti galeri makanan dan gaya hidup kini memasarkan lebih 500 produk tempatan selepas beroperasi sejak setahun yang lalu.

Pengasasnya, Narzeenas Ibrahim berkata, bermula dengan platform kedai atas talian, Spr8love juga semakin berkembang kerana telah memiliki cawangan kedua di Puncak Alam.

Beliau memberitahu, objektif utama pihaknya adalah intuk membantu usahawan tempatan yang kebanyakannya bekerja dari rumah sejak pandemik Covid-19 bagi mempromosikan dan menjual produk mereka.

“Vendor kami juga terdiri daripada selebriti selain mereka yang kurang bernasib baik apabila kehilangan pekerjaan seperti ibu tunggal, orang kurang upaya dan warga emas yang terpaksa mencari sumber baharu pendapatan untuk bertahan daripada pandemik.

Orang awam yang hadir pada rumah terbuka Spread Love di Subang Bestari Shah Alam, Selangor. Foto AMIRUL SHAUFIQ 04 DECEMBER 2021.

“Selepas Perintah Kawalan Pergerakan 1.0 PKP ditarik balik, kami di Spr8love telah membaik pulih sebuah kedai dalam masa kurang dari sebulan dan mula beroperasi sepenuhnya secara fizikal.

“Kami tidak mengenakan sewa ke atas vendor namun semua produk yang diterima masuk akan melalui tapisan bagi menjaga kualiti terbaik,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pada Rumah Terbuka Spr8love di Subang Bestari di sini hari ini.

Spr8love mula beroperasi di tengah-tengah pandemik Covid-19 melanda negara pada Ogos tahun lalu.

Narzeenas sebelum ini menjalankan syarikat pengurusan acara namun terpaksa ditutup kerana industri pelancongan yang terjejas teruk.

Semua projek dan acara telah dibatalkan dan dia terpaksa mencari jalan untuk meneruskan kelangsungan hidup dengan ingin membantu mereka yang senasibnya.

Narzeenas memberitahu, Spr8love bermula dengan pelan projek menyebarkan cinta untuk mempromosikan produk dan perkhidmatan tempatan melalui rangkaian komuniti yang memanfaatkan komunikasi jarak jauh.

“Jika ada yang masih ingat perasaan ketika wabak pertama melanda, kita semua hanya mempunyai satu impian sama untuk meneruskan hidup dengan inisiatif kita jaga kita.

“Saya percaya dalam semangat menyebarkan kasih sayang, kami benar-benar membantu antara satu sama lain untuk mengharungi norma baharu ini.

Pengasas Spread Love, Narzeenas Ibarhim sempena rumah terbuka Spread Love di Subang Bestari Shah Alam, Selangor. Foto AMIRUL SHAUFIQ 04 DECEMBER 2021.

“Kami kini menerima secara purata 10 hingga 20 produk baharu setiap hari untuk dipaparkan di www.spr8love.com dan dijual di dua kedai fizikal kami.

“Kebanyakan produk yang terpilih berdasarkan kaedah konsaimen dengan yuran adalah sifar.

“Kami mempromosikan semua produk secara adil dan kami bekerjasama rapat dengan vendor untuk menjenamakan produk mereka,” katanya.

Sementara itu, penganjuran Rumah Terbuka itu adalah satu inisiatif untuk memperkenalkan Spr8love dan vendornya kepada orang ramai menerusi pameran gerai, sampel produk percuma dan persembahan istimewa artis tempatan yang mengikuti proseder operasi standard (SOP) yang ketat. – MalaysiaGazette