KUALA LUMPUR – Kemampuan anak buah Tan Cheng Hoe untuk mengulangi kejayaan edisi 2010 kini menjadi tanda tanya susulan beberapa episod tidak diduga pada kejuaraan Piala Persekutuan Bola Sepak ASEAN (AFF) yang membuka tirai hari ini.
Malaysia yang disebut antara dua pasukan mara ke separuh akhir saingan di Singapura berdasarkan kedudukan ranking dunia ke-154, akan berdepan Kemboja pada perlawanan pembukaan Kumpulan B, di Stadium Bishan, petang esok.
Timbulnya tanda tanya kerana skuad Harimau Malaya akan turun tanpa khidmat beberapa tonggak utama pasukan selain terpaksa menempuh fasa persiapan singkat ekoran kepadatan jadual Piala Malaysia dan masalah kecederaan pemain pada saat akhir.
Pemain mula melapor diri ke kem latihan pada 22 Nov membabitkan pasukan sudah terkeluar daripada saingan peringkat kumpulan dan suku akhir, diikuti pemain yang pasukannya tersingkir di separuh akhir melapor diri pada 28 Nov manakala pemain yang terlibat dengan aksi final, melapor diri pada 1 Dis, iaitu dua hari sebelum berlepas ke Singapura.
Cheng Hoe juga tidak dapat menguji kombinasi pemain serta taktikal permainan kerana ketiadaan sebarang aksi persahabatan seperti dirancang sebelumnya iaitu menentang Timor Leste, sekali gus menjadikan persiapan kali ini paling singkat apabila pasukan hanya dapat dikumpulkan sepenuhnya dua hari sebelum perlawanan pertama.
Lebih parah, skuad kebangsaan kehilangan khidmat dua pemain – penjaga gol Muhammad Khairulazhan Mohd Khalid dan pemain sayap Muhammad Faisal Abdul Halim pada tiga aksi pertama selepas disahkan positif COVID-19 dan mereka perlu menjalani kuarantin selama 10 hari.
Persiapan tidak seberapa ini mungkin sedikit merencatkan persediaan Harimau Malaya dalam misi memburu kejuaraan kedua Piala AFF, namun ia juga boleh menjadi peluang buat pasukan kebangsaan yang dibarisi pemain berpengalaman dan pemain muda berpotensi untuk melakar sejarah tersendiri.
Skuad bimbingan Cheng Hoe masih mempunyai kekuatan menerusi beberapa pemain muda dengan kemahiran individu tinggi seperti pemain sayap Arif Aiman Mohd Hanapi yang dipanggil pada saat akhir, Luqman Hakim Shamsudin (penyerang) dan pemain tengah Muhammad Mukhairi Ajmal Mahadi.
Selain itu, khidmat pemain senior seperti penjaga gol Khairul Fahmi Che Mat yang berada dalam skuad kebangsaan menjuarai Piala AFF 2010, Baddrol Bakhtiar dan kapten Mohamad Aidil Zafuan Abd Radzak mampu memberi keseimbangan dari sudut pengalaman beraksi dalam kancah tertinggi.
Secara keseluruhan, tidak mustahil untuk Malaysia menjejakkan kaki ke final Piala AFF buat kali kelima sejak pertama kali dianjurkan pada 1996, namun perlu berdepan cabaran sengit pasukan yang telah melakukan persediaan rapi seperti Vietnam, Thailand, Singapura dan Indonesia.
Selepas menentang Kemboja dalam kempen Piala AFF 2020 itu esok, saingan berikutnya ialah berdepan Laos (9 Dis), Vietnam (12 Dis) dan akan menutup saingan kumpulan berdepan Indonesia pada 19 Dis.
Sebagai rekod, Malaysia berjaya melepasi saingan kumpulan sebanyak empat kali, selain beraksi di final tiga kali dan menjulang kejuaraan edisi 2010 dalam lima edisi terakhir Piala AFF.
— BERNAMA