KUALA LUMPUR – Letakkan sebab parti politik dominan sebagai punca berleluasanya rasuah merupakan kenyataan hipokrit dari orang kecewa.
Ahli Majlis Tertinggi (MT) UMNO, Datuk Dr .Mohd Puad Zarkashi berkata, kenyataan Presiden Parti Pribumi Bersatu (Bersatu) Tan Sri Muhyiddin Yassin itu tidak boleh diterima
“Itu kenyataan dari orang yang hipokrit dan kecewa semata-mata. Hipokrit, kerana umum tahu Bersatu sendiri bernafsu besar untuk menjadi parti dominan.
“Perancangan mereka adalah satu iaitu untuk menguburkan UMNO dan Bersatu adalah penggantinya,” katanya menerusi hantaran Facebooknya hari ini.
Semalam, ketika berucap merasmikan Persidangan Perwakilan Nasional Parti Gerakan ke-15 di ibu kota, Muhyiddin memberi amaran mengenai kesan buruk akibat sistem parti politik dominan seperti yang berlaku pada era pentadbiran Barisan Nasional (BN) sebelum gabungan itu tumbang pada Pilihan Taua Umum ke-14 (PRU14) tahun 2018.
Dalam ucapan itu, Muhyiddin berkata, pemusatan kuasa yang diperolehi BN menyaksikan salah guna kuasa dam rasuah berlaku begitu berleluasa berikutan ketiadaan prinsip semak dan imbang.
Sistem politik ini, kata beliau, yang mampu mewujudkan kestabilan politik pada awalnya dilihat berkesan untuk memacu pembangunan negara yang pesat.
Mengulas lanjut, Dr. Mohd Puad berkata, setiap tindak tanduk Muhyiddin memperlihatkan rasa kecewanya kerana PPBM yang akan menjadi parti dominan kepada UMNO, tidak kesampaian.
“Sebab itu Bersatu tiru warna merah dan guna perkataan “bersatu” seperti UMNO. Bersatu juga guna warna biru untuk Perikatan Nasional (PN) sama seperti BN (Barisan Nasional).
“Hujah Muhyiddin itu amat cetek. Rasuah boleh berlaku dalam apa sahaja keadaan. Siapa sangka tender terhad lulus ketika Parlimen digantung dan darurat diistiharkan.
“Apabila beliau tidak dominan lagi banyak salah guna kuasa berlaku seperti gantung Parlimen, isytihar darurat dan pujuk orang lompat parti melalui scheme of things. Apalah itu bukan rasuah? Janganlah hipokrit,” katanya. – MalaysiaGazette