Home Dunia India: 13 maut tentera tembak pikap pekerja

India: 13 maut tentera tembak pikap pekerja

NEW DELHI – Seramai 13 orang di Nagaland, India dilaporkan maut selepas sebuah pikap ditembak oleh anggota pasukan keselamatan, sekali gus mencetuskan ketegangan di negeri yang bersempadan dengan Myanmar itu.

Ketua Menteri Nagaland, Neiphiu Rio pada Ahad merayu semua pihak untuk bertenang dan berjanji akan menyiasat kejadian itu dengan terperinci. Kejadian itu berlaku di kampung Oting di daerah Mon.

Rio menyifatkan pembunuhan itu satu kejadian yang “malang” dan akan memastikan ia akan disiasat dengan adil mengikut lunas undang-undang.

Agensi berita PTI melaporkan memetik seorang pegawai polis tempatan, kejadian pada Sabtu itu berlaku apabila tentera melepaskan tembakan ke arah pikap yang dalam perjalanan membawa pekerja pulang dari lombong arang batu.

Maklumat terperinci mengenai kejadian masih disiasat.

Menurut laman web NDTV, insiden itu mungkin berpunca daripada kesilapan mengenal pasti sasaran ketika tentera sedang mengadakan operasi antipemberontak di kawasan itu.

NDTV melaporkan 14 orang maut dalam kejadian itu termasuk seorang tentera.

Menteri Dalam Negeri, Amit Shah berkata kerajaan negeri akan menjalankan siasatan yang menyeluruh berhubung kejadian itu.

“Saya turut berduka cita dengan insiden itu dan mengucapkan takziah kepada keluarga mangsa,” katanya.

— BERNAMA