BANGI – Walaupun penglihatannya terhad namun ia bukan penghalang buat Naimah Nizam mengukir kejayaan.
Kekurangan itu ditukar menjadi semangat kepadanya untuk menyelesaikan pengajiannya dalam ijazah sarjana muda di Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM).
Menurut Naimah, 22, segala cabaran yang dihadapi seperti sukar fokus dan bergantung dengan penglihatan sebelah mata sahaja mampu diatasinya dengan baik.
“Macam saya ini penglihatan terhad, jadi saya sentiasa cuba untuk berkomunikasi dengan kawan-kawan jika ada yang kurang jelas.
“Cabaran lain, contohnya kedudukan saya dalam kelas kadang-kadang tak terjamin, misalnya dewan kuliah yang besar, jadi saya kena usaha untuk dapat tempat depan supaya saya boleh nampak apa yang pensyarah ajar,” katanya ketika ditemui selepas Sidang Kesembilan Majlis Konvokesyen UKM ke-49 di sini hari ini.
Selain itu, graduan dari Fakulti Pengajian Islam itu turut mengakui tempoh pandemik Covid-19 menambahkan lagi kesukarannya apabila terpaksa menghadap komputer dalam masa yang lama.
Keadaan itu meletihkan matanya sehingga kerap pening.
“Disebabkan sebelum ni ada online class, nak baca bahan kuliah dalam komputer sangat susah, sangat memenatkan sebab saya melihat dengan sebelah mata, jadi dia akan jadi pening dan sakit-sakit,” katanya.
Bagaimanapun Naimah bersyukur kerana segala kemudahan yang disediakan UKM adalah mesra untuk golongan Orang Kurang Upaya (OKU) sepertinya.
“Keadaan dan suasana di UKM sangat kondusif, saya selesa berada dalam kampus UKM. Semua fasiliti, kakitangan UKM, para pensyarah semua sangat membantu dalam segala hal,” katanya lagi.
Sementara itu, seorang lagi graduan OKU dari fakulti yang sama, Farah Wahida Mat Yasin, 26, juga mengalami congenital scoliosis sejak lahir turut memuji kemudahan yang disediakan UKM.
“Kami pelajar OKU sentiasa mendapat keprihatinan UKM. Bantuan kewangan OKU daripada Kementerian Pengajian Tinggi pun sangat membantu dari segi wang saku dan nak bayar yuran.
“Dalam satu semester tu kalau dibahagikan dalam RM2,500 juga, betul-betul sangat membantu,” katanya.
Justeru mereka menasihatkan kepada rakan-rakan yang masih berjuang dalam pengajian untuk terus berusaha dengan gigih kerana ia kunci kejayaan. – MalaysiaGazette