KUALA LUMPUR – Usahawan bumiputera perlu berani membuat penghijarahan konsep perniagaan untuk berkembang maju pada masa depan.
Timbalan Menteri Wilayah Persekutuan, Datuk Seri Jalaluddin Alias berkata, mereka tidak boleh selesa dengan rutin perniagaan untuk tempoh lama.
Pembaharuan konsep perniagaan akan dapat meluaskan nilai dan pengetahuan sekaligus meningkatkan kebolehan untuk bersaing di peringkat nasional seterusnya pada peringkat antarabangsa, katanya.
“Kita tidak mahu usahawan bumiputera adalah usahawan kelas pertengahan. Kita mahu usahawan berniaga di satu tempat, di satu lokasi bulan ini, enam bulan kemudian dia akan ada dua lokasi dan beberapa cawangan yang boleh dihasilkan,” katanya ketika menyampaikan ucapan perasmian Direktori Usahawan Bumiputera Cheras hari ini.
Ujar Jalaluddin, melalui komitmen pelbagai pihak tidak mustahil lebih ramai lagi usahawan bumiputera khususnya dalam kalangan Melayu akan berjaya.
Pengetahuan perniagaan juga, katanya, perlu sentiasa berkembang seiring dengan kecanggihan teknologi yang sentiasa berubah.
“Siapa kata usahawan bumiputera Melayu tidak boleh berniaga? Tidak boleh berjaya? Saya jumpa ramai usahawan Melayu yang cemerlang.
“Tapi semua harus memainkan peranan dalam kalangan pemimpin masyarakat. Ia memerlukan beberapa pendekatan supya siapa yang baru nak jadi usahawan berada dalam landas yang betul,” tambah Jalaluddin.-MalaysiaGazette