Home Ekonomi Pendekatan inovasi teknologi jadi pelan lima tahun PLUS

Pendekatan inovasi teknologi jadi pelan lima tahun PLUS

Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, Dato Sri Adham Baba menyaksikan gimik pelancaran Majlis Pelancaran Program Rintis Sandbox Lebuhraya Pintar kerjasama di Dewan Banquet Persada Plus Petaling Jaya, Selangor. Foto AMIRUL SHAUFIQ 06 DISEMBER 2021.

PETALING JAYA – Mempercepatkan pendekatan inovasi menggunakan teknologi untuk kerja pemantauan merupakan Pelan Lima Tahun PLUS Malaysia Berhad (PLUS), kata Ketua Pegawai Operasinya, Datuk Zakaria Ahmad Zabidi.

Jelas beliau, objektif pelan ini adalah untuk memperkasakan PLUS melalui tenaga kerja berkemahiran tinggi.

Menurutnya, ini dalam masa yang sama bertujuan memastikan persekitaran pekerjaan yang selamat, lestari dan perkembangan yang baik dalam PLUS.

“Objektif pelan ini juga adalah untuk mempercepatkan automasi untuk mempercepatkan kerja pengambilan data dan has akhir yang jitu,” katanya ketika membentangkan Pelan Lima Tahun PLUS di hadapan Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI) Datuk Seri Dr. Adham Baba, hari ini selepas pelancaran Program Rintis Sandbox Lebuhraya Pintar.

Zakaria berkata, salah satu cara untuk mencapai pelan berkenaan adalah dengan
memodenkan cara penyelenggaraan lebuh raya.

“Seperti kita maklum kos selenggara sekarang semakin lama semakin tinggi, jadi dengan memodenkan penyelenggaraan, maka ia dapat memperkasa teknologi dan memperkasa tenaga pekerja,”tambah beliau.

Kata beliau,  PLUS kini berada di peringkat Automasi Pengesanan Kecacaran Cerun dan Automasi Pengesanan Kerosakan Jambatan.

Peringkat seterusnya pada 2023 pula, Automasi Pengesanan Kerosakan Jalan dan Pengesanan Perkhidmatan Trafik Automatik dan Pengesanan Objek Asing pada tahun berikutnya sebelum mencapai Automasi Sepenuhnya pada 2025.

Terdahulu, Zakaria menyifatkan, memorandum persefahaman antara PLUS dengan Malaysian Global Innovation & Creativity Centre (MaGIC) yang dimeterai hari ini, seiring dengan matlamat untuk meletakkan PLUS sebagai peneraju Revolusi Industri 4.0 (IR4.0).

“Kolaborasi ini seiring matlamat PLUS untuk mewujudkan kerjasama strategi demi meningkatkan kemampuan demi memastikan keselesaan dan keselamatan pengguna lebuhraya,” kata beliau menyampaikan ucapan bagi pihak Pengarah Urusan PLUS Datuk Azman Ismail.- MalaysiaGazette