Home Seni Hidup Persatuan pesara polis disaran dekati golongan muda – MB

Persatuan pesara polis disaran dekati golongan muda – MB

Menteri Besar Johor, Datuk Hasni Mohammad beramah mesra dengan pesara polis selepas merasmikan Mesyuarat Agung Perwakilan Tahunan Persatuan Pesara Polis Negeri Johor Ke-60 di Dewan Inderaputera, Pulai Springs Resort semalam.

JOHOR BAHRU – Persatuan Pesara Polis Negeri Johor digesa memperbanyakkan  aktiviti bersama-sama golongan muda bagi menyemai rasa tanggunjawab kepada negara kepada generasi baru.

Menteri Besar Johor, Datuk Hasni Mohammad berkata, ia perlu memandangkan mereka bakal menjadi pemimpin masa depan.

Menurutnya, Parlimen telah meluluskan had umur layak mengundi daripada 21 kepada 18 tahun dan libat urus bersama persatuan seperti persatuan pesara polis diharap dapat membimbing anak-anak muda.

“Saya berharap Persatuan Pesara Polis Negeri Johor juga dapat menyantuni dan menyambut kehadiran orang-orang muda dalam masyarakat.

“Terangkan kepada orang muda, perbanyak libat urus secara berkekalan antara persatuan dengan anak-anak muda kita telah diberi mandat dan kepercayaan untuk menjadi sebahagian daripada penentu masa depan negara kita.

“Adakan interaksi, muafakat dan kerjasama antara persatuan dengan anak-anak muda supaya mereka menyedari dan memahami sumbangan dan jasa pasukan keselamatan dalam menjaga keamanan negeri dan negara kita,” katanya.

Beliau berkata demikian semasa merasmikan Mesyuarat Agung Perwakilan Tahunan Persatuan Pesara Polis Negeri Johor Ke-60 di Dewan Inderaputera, Pulai Springs Resort semalam.

Turut hadir hadir ialah Ketua Polis Johor, Datuk Ayob Khan Mydin Pitchay, Presiden Persatuan Pesara Polis Negeri Johor, Khadmudin Mohamed Rafik dan Pengerusi Persatuan Pegawai-Pegawai Kanan Polis Bersara (RESPA) SLC Johor, Datuk R. Sugumaran.

Pada majlis itu, Hasni turut mengumumkan peruntukan RM120,000 kepada persatuan berkenaan untuk menjalankan aktiviti termasuk bersama-sama dengan anak muda.

“Kalau ia (peruntukan) tidak cukup, saya boleh tambah sikit lagi untuk buat program bersama-sama dengan anak muda,” katanya. -MalaysiaGazette