Home Nasional 40 peratus rakyat Pahang tak hadir temu janji dos penggalak

40 peratus rakyat Pahang tak hadir temu janji dos penggalak

Dr. Nor Azimi Yunus

KUANTAN – Kira-kira 40 peratus rakyat Pahang tidak hadir mendapatkan suntikan dos penggalak walaupun sudah diberi tarikh temujanji melalui MySejahtera.

Pengarah Jabatan Kesihatan Negeri (JKN) Pahang, Datuk Dr Nor Azimi Yunus berkata, majoritinya masih belum bersungguh-sungguh hendak mendapatkannya.

“Data terkini menunjukkan 40 peratus rakyat negeri ini tidak hadir mendapatkan dos penggalak walaupun telah diberi temu janji dalam MySejahtera.

“Sama ada mereka takut atau tidak faham kepentingannya,” katanya menerusi hantaran di Facebook miliknya hari ini.

Justeru, Dr. Nor Azimi berharap semua rakyat Pahang datang untuk mendapatkan dos penggalak bagi pelindungan semua pihak.

Sementara itu, beliau berkata, seramai 85,788 orang sudah mendapatkan vaksin dos penggalak sehingga 5 Disember lalu di Pahang.

Dr Nor Azimi berkata, sejumlah 208,831 individu sepatutnya menerimanya mengikut kelayakan semasa bermula 15 Oktober lalu.

Jelasnya, Jawatankuasa Task Force bersama JKN Pahang, Pusat Kawalan Operasi Bencana dan Pejabat Kesihatan Daerah  sedang mempergiatkan pelbagai aktiviti dan program untuk meningkatkan prestasi suntikan dos penggalak di Pahang.

“Kita mengadakan suntikan beberapa tempat seperti di masjid, pasar raya dan balai raya yang bersesuaian dan tidak terhad kepada Klinik Kesihatan,” ujarnya.- MalaysiaGazette