Home Ekonomi Ekonomi Malaysia diunjur berkembang 6% tahun depan – MIDF Research

Ekonomi Malaysia diunjur berkembang 6% tahun depan – MIDF Research

Menteri Kewangan, Lim Guan Eng berkata, kekukuhan ekonomi negara bersandarkan kepada lapan faktor iaitu pertumbuhan yang mantap dan stabil.
KLCC mercu tanda Kuala Lumpur.

KUALA LUMPUR – Ekonomi Malaysia dijangka berkembang 3.7 peratus tahun ini dan terus meningkat kepada 6.0 peratus pada 2022 di tengah-tengah pemulihan aktiviti ekonomi, demikian menurut MIDF Amanah Investment Bank Bhd (MIDF Research).

Pakar ekonomi Abdul Mui’zz Morhalim berkata, pemulihan dalam aktiviti ekonomi domestik akan berterusan apabila pengguna dan perniagaan meningkatkan perbelanjaan masing-masing berikutan prospek yang semakin baik.

Aktiviti pelaburan yang lebih baik dan inflasi yang stabil, berserta pertumbuhan berterusan dalam permintaan luar, terutamanya bagi elektrik dan elektronik dan komoditi, juga akan memberikan sokongan kepada pertumbuhan tahun depan, jelas beliau.

“Inflasi dijangka berada pada 2.1 peratus pada 2022.

“Dengan ekonomi diramal pulih dan tekanan inflasi kembali, MIDF Research turut menjangka Bank Negara akan mengumumkan kenaikan 25 mata asas pada penghujung separuh kedua 2022,” katanya dalam taklimat media mengenai Tinjauan Pasaran MIDF 2022 di sini hari ini.

Firma penyelidikan itu turut mengunjurkan harga komoditi kekal tinggi, dengan harga minyak mentah Brent berpurata antara US$75 dan US$80 setong manakala minyak sawit mentah diramalkan berada pada purata RM3,300 satu tan metrik.

Mengenai potensi risiko menurun, ketua penyelidikan bank pelaburan itu Imran Yassin Md Yusof berkata beberapa isu yang dilihat tahun ini mungkin melimpah ke tahun 2022 seperti faktor Omicron, tekanan inflasi, kemerosotan  dalam pasaran hartanah China dan kemungkinan adanya pilihan raya umum ke-15.

“Pada pandangan kami, isu-isu ini akan membawa kepada beberapa gangguan dalam pemulihan ekonomi, namun begitu, walaupun berlakunya mana-mana satu peristiwa ini, sama ada secara berasingan atau gabungan tidak akan menjejaskan proses pemulihan.

“Bagaimanapun, kemungkinan peristiwa ini menjadi lebih buruk daripada jangkaan tidak boleh diketepikan selepas mengambil kira pengalaman tahun ini, justeru, pelabur perlu sentiasa berwaspada dengan kemungkinan risiko penurunan tahun depan,” katanya.

Mengenai pasaran ekuiti, Ketua Strategi MIDF Research Syed Muhammed Kifni Syed Kamaruddin menyatakan FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) agak ketinggalan jika dibandingkan dengan rakan serantau pada 2021.

Sehingga 2 Dis, indeks utama telah menyusut 7.7 peratus.

FBM KLCI berkemungkinan akan mengakhiri tahun 2022 pada paras 1,700 disokong oleh pendapatan korporat yang lebih baik, katanya sambil menambah unjuran itu antaranya bergantung kepada keadaan mudah tunai kekal mencukupi tetapi dengan dasar monetari pada laluan yang agak ketat, perkembangan pasaran hartanah di China dan pilihan raya umum di Malaysia.

Sementara itu, sebarang lonjakan peningkatan kes COVID-19 boleh menyebabkan pelaksanaan semula beberapa langkah pembendungan tetapi tidak akan mengakibatkan penutupan di seluruh negara kerana tahap kadar vaksinasi yang tinggi, katanya.

“Kami menjangkakan kemunculan tahap dinamik yang lebih baik dalam ekonomi sebenar akan lambat laun dicerminkan dalam ekonomi kewangan,” tambahnya.

“Kami percaya bahawa faktor-faktor ini akan mempengaruhi sentimen pelabur secara positif yang menjuruskan kepada prestasi lebih baik bagi pasaran ekuiti serta rakan serantau kita,” tambah beliau. – MalaysiaGazette