Home Nasional Masalah kewangan, beban pembelajaran punca keciciran pelajar

Masalah kewangan, beban pembelajaran punca keciciran pelajar

Muhammad Zakir Abdul Razak

KUALA LUMPUR – Masalah kewangan keluarga dan kesihatan mental yang membebankan pelajar sehingga kini dipercayai antara faktor utama yang menyumbang kepada keciciran pelajar dalam pelajaran.

Malah jadual pembelajaran yang tidak teratur akibat cabaran Covid-19 juga menjadi faktor sampingan pelajar mula hilang minat kepada pembelajaran.

Presiden Persatuan Pelajar Islam Selangor Darul Ehsan (Pepias), Muhammad Zakir Abdul Razak berkata, statistik 21,316 orang pelajar yang berhenti sekolah bermula Mac 2020 hingga Julai 2021 amat merisaukan semua pihak yang memikirkan pendidikan generasi sekarang.

Pendidikan merupakan perkara asas yang diperlukan oleh generasi muda untuk membentuk akhlak, jati diri, pemikiran, rohani dan jasmani pelajar.

Oleh itu, Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) perlu mengambil langkah proaktif dalam mengenal pasti isu sebenar dengan mengeluarkan statistik baharu yang lebih terperinci bagi mengatasi isu ini.

KPM juga perlu mempertimbangkan kepadatan silibus pembelajaran dan lebih menjaga kebajikan guru-guru.

Hal ini membolehkan guru-guru lebih fokus kepada proses pengajaran dan pembelajaran (PdP) dalam memastikan keseronokan pelajar untuk meneruskan pembelajaran.

Muhammad Zakir berkata, keciciran pelajar dalam pelajaran akan memberikan seribu satu permasalahan ke dalam masyarakat seperti bertambahnya masalah sosial dan ketandusan generasi bijaksana.

Keciciran ini juga memberi kesan kepada masa hadapan mereka nanti apabila tidak mengambil Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) dan tiada sijil SPM untuk memasuki institut pengajian tinggi dan memohon mana-mana pekerjaan di industri.

Pepias yakin banyak pihak sanggup berganding bahu demi memastikan pelajar-pelajar ini mendapat pendidikan formal semula, ujarnya. – MalaysiaGazette