Home Dunia Operasi mencari mangsa Gunung Semeru diteruskan

Operasi mencari mangsa Gunung Semeru diteruskan

Operasi mencari dan menyelamat dilakukan di perkampungan Sumberwuluh. foto CNN

JAKARTA – Para petugas penyelamat di Indonesia terus menggali lapisan tebal abu panas untuk mencari mangsa yang terselamat daripada letusan Gunung Semeru yang menyebabkan lebih 20 orang maut dan beribu-ribu kehilangan tempat tinggal di wilayah Jawa Timur ini.

Ketika ini gunung berapi terus meletuskan abu.

Gunung Semeru, salah satu gunung berapi paling aktif di Indonesia, meletus pada Sabtu lalu, mengeluarkan abu panas dan gas ke udara menyebabkan perkampungan di daerah Lumajang menjadi gelap.

Angka kematian meningkat kepada 22 lewat malam tadi, kata Ketua Data dan Maklumat Badan Nasional Pengurusan Bencana (BNPB) Indonesia, Abdul Muhari, semasa sidang akhbar.

Kira-kira 2,000 orang telah dipindahkan di 19 pusat sementara, tambahnya.

Hampir 3,000 rumah dan 38 sekolah telah rosak akibat runtuhan itu, menurut kenyataan Pos Komando Tindak Balas Kecemasan Gunung Semeru.

Letusan itu juga memusnahkan jambatan yang menghubungkan Lumajang dengan daerah jiran Malang, menghalang laluan dari jalan utama dan menghalang usaha menyelamat.

Maulana Ardiansyah, seorang sukarelawan dari pasukan Mencari dan Menyelamat Baznas memberitahu, kumpulan itu menemui tiga mayat – seorang lelaki, seorang wanita dan seorang kanak-kanak ditenggelami lahar sejuk di kampung Kampung Renteng pagi Isnin.

Mereka yang dipindahkan termasuk ratusan penduduk kampung yang tinggal berhampiran empangan yang pecah Isnin akibat lahar sejuk dan hujan lebat, kata Ketua Operasi Mencari dan Menyelamat I, Wayan Suyatna.

Beliau menambah, operasi mencari semalam terpaksa dihentikan dua kali kerana awan piroklastik iaitu campuran abu, batu dan gas gunung berapi yang boleh menjadi lebih berbahaya daripada lava.

“Awan gunung berapi panas berbahaya untuk keselamatan pasukan.

“Cuaca di sini juga sangat teruk. (Ia) gelap dan hujan,” kata Suyatna

Video yang dikongsi BNPB pada Isnin menunjukkan lumpur tebal di sekitar kawasan gunung berapi.

Kampung-kampung terbiar sepenuhnya dan kenderaan kekal terendam di bawah enap cemar, manakala beribu-ribu pokok dilitupi debu. – CNN