KUANTAN – Bagi mengatasi krisis air dan menjamin kualiti sumber air mentah, kerajaan Pahang akan menaik taraf loji rawatan air, mengganti paip lama serta pembinaan loji rawatan air (LRA) yang baharu.
Menteri Besarnya, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail berkata, Kerajaan negeri mengambil tiga langkah tersebut berikutan kemerosotan kualiti air mentah di beberapa LRA di negeri ini.
“Kualiti air mentah yang menunjukkan kemerosotan di beberapa LRA di negeri ini menyebabkan operasi loji rawatan air terlibat terpaksa dihentikan.
“Bagi mengatasi masalah kekeruhan sumber air mentah yang tinggi dan penyusutan sumber air di musim kemarau, cadangan projek pembinaan off river storage wier dan empangan telah dicadang dalam Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK-12),” katanya.
Wan Rosdy berkata demikian ketika menjawab soalan Mohd Zakhwan Ahmad Badarddin (Pas -Tahan) pada Sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Pahang Ke-14 di Wisma Sri Pahang hari ini.
Katanya, pembiayaan projek tersebut di bawah peruntukan geran kerajaan Persekutuan membolehkan Pihak Pengurusan Air Pahang Berhad (PAIP) membina beberapa projek tangki prapemendapan dan akan membinanya di kawasan-kawasan yang dianggap sesuai.
Selain itu, projek yang sedang dalam pembinaan termasuk kerja-kerja segera bagi mengatasi masalah kekeruhan sumber air yang tinggi melibatkan LRA Sungai Bilut, LRA Semantan dan di LRA Sungai Klau di samping projek menyiapkan ORS di Chini dan Lipis.
“Ia melibatkan kerja-kerja menaik taraf LRA sedia ada dan penggantian paip-paip lama jenis asbestos serta memastikan rizab loji rawatan air sedia ada meningkat dan bekalan air yang lebih stabil dapat dibekalkan
“Antara masalah yang dihadapi termasuk rizab loji-loji rawatan air yang semakin kurang dan paip-paip air lama sering pecah serta memastikan rizab loji rawatan air sedia ada meningkat dan bekalan air yang lebih stabil dapat dibekalkan,” katanya.
Pihak PAIP bercadang untuk menggunakan dana dalaman RM80 juta serta mendapat pembiayaan RM76 juta daripada Pengurusan Aset Air Berhad untuk projek-projek yang sesuai, katanya.-MalaysiaGazette