Home Nasional Pahang bina desa warga emas terbesar di Malaysia

Pahang bina desa warga emas terbesar di Malaysia

Datuk Seri Shahaniza Shamsudin

KUANTAN – Kerajaan negeri melalui Yayasan Pahang akan membina desa warga emas terbesar di Malaysia dengan kemampuan menempatkan kapasiti kira-kira 200 penghuni.

Exco Perpaduan, Kebajikan Masyarakat, Pembangunan Wanita dan Keluarga Pahang, Datuk Seri Shahaniza Shamsuddin berkata, kompleks berkonsepkan bandar Islam moden di Penor dekat sini akan menyediakan 106 unit rumah.

“Ianya akan dijangka siap sepenuhnya, akhir tahun 2022 bagi fasa pertama yang akan menempatkan 200 warga emas. Penghuni yang pertama dijangka akan menghuni kompleks warga emas pada Mac 2023 dan ianya akan menjadi desa warga emas terbesar di Malaysia,” katanya.

Shahaniza berkata demikian ketika menjawab soalan dikemukakan Lee Ah Wong (BN – Cheka) pada Sidang Dewan Undangan Negeri Pahang di Wisma Sri Pahang.

Tambah Shahaniza, kompleks di bandar wakaf Madinah Mawaddah itu turut menerima penghuni terdiri daripada pelbagai kaum mengikut permohonan yang akan dibuka kelak.

Dalam pada itu, seramai 18,000 warga emas di negeri Pahang akan menikmati kad kesihatan warga emas yang dikreditkan RM500 bagi tujuan pemeriksaan kesihatan dan perubatan di panel klinik terpilih.

Kad kesihatan berkenaan antara kemudahan terbaharu yang diumumkan kerajaan negeri melalui Belanjawan Tahun 2022 yang dibentangkan oleh Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail. – MalaysiaGazette