Home Nasional Perkukuh langkah kawalan pengembara luar bendung varian Omicron

Perkukuh langkah kawalan pengembara luar bendung varian Omicron

Tindakan pengukuhan kepada langkah-langkah pencegahan dan kawalan sedia ada ke atas pengembara yang tiba di Malaysia telah dilaksanakan.- Gambar hiasan.

KUALA LUMPUR – Tindakan pengukuhan kepada langkah-langkah pencegahan dan kawalan sedia ada ke atas pengembara yang tiba di Malaysia telah dilaksanakan.

Ia bagi mencegah kemasukan dan penularan varian Omicron Covid-19, kata Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin Abu Bakar.

Menurutnya, tindakan pengukuhan dilaksanakan melibatkan Laluan Perjalanan Golongan Lengkap Vaksinasi melibatkan laut dan darat, Gelembung Pelancongan Antarabangsa Langkawi (LITB); Pusat SehentiĀ  untuk pelawat perniagaan jangka pendek,, pengembara dari negara-negara yang dikenakan sekatan perjalanan sementara dan pengembara dari negara yang melaporkan penularan varian Omicron dalam komuniti.

“Bagi pengembara di bawah kategori 1 hingga 4, tindakan pengukuhan kepada langkah-langkah pencegahan dan kawalan sedia ada yang dilaksanakan adalah para pengembara mestilah telah lengkap divaksinasi, dikehendaki menjalani ujian PCR Covid-19 dalam masa dua hari sebelum berlepas ke Malaysia, menggantikan prosedur terdahulu yang menetapkan 72 jam sebelum berlepas.

“Pengembara juga perlu menjalani ujian pengesanan Covi-19 semasa ketibaan di Malaysia, Ujian RTK-Ag atau ujian pantas antigen (kendiri) pada hari ke-2, ke-4, dan ke-6 selepas ketibaan ke negara ini,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Tambah Khairy, pengembara juga harus menjalani Ujian RTK-Ag atau ujian pantas antigen (professional) pada hari ke-3 dan ke-5 selepas ketibaan.

Menurut beliau, semua keputusan ujian terbabit perlu dilaporkan oleh pengembara berkenaan melalui aplikasi MySejahtera.

Justeru katanya, bagi pengembara di bawah kategori 5 dan 6, tindakan pengukuhan kepada langkah-langkah pencegahan dan kawalan sedia ada yang dilaksanakan adalah mereka yang datang dari negara dikenakan sekatan perjalanan sementara (warganegara dan pemegang pas lawatan jangka panjang), mesti melakukan ujian PCR Covid-19 dalam masa dua hari sebelum berlepas ke Malaysia.


“Pengembara berkenaan akan dipakai peranti pengesanan digital sepanjang tempoh kuarantin wajib di negara ini dan mereka dikehendaki kuarantin wajib selama 14 hari di stesen kuarantin tanpa mengira status vaksinasi.

“Justeru, prosedur kuarantin dan pengujian semasa ketibaan dan sepanjang tempoh kuarantin adalah mengikut prosedur sedia ada,” ujarnya.

Dalam perkara sama, bagi negara yang melaporkan penularan varian Omicron dalam komuniti (warganegara dan bukan warganegara) pengembara berkenaan wajib melakukan Ujian PCR Covid-19 dalam masa 2 hari sebelum berlepas ke Malaysia.

Malah jelas Khairy, mereka akan dipakaikan peranti pengesanan digital sepanjang tempoh kuarantin wajib dan tempohnya bergantung kepada status vaksinasi pengembara itu.

Ujarnya, prosedur sedia ada yang diumumkan sebelum ini masih berkuatkuasa.

“Maklumat terperinci berkaitan jenis dan kekerapan ujian yang perlu dilakukan oleh pengembara yang memasuki Malaysia serta syarat-syarat lain yang ditetapkan, dijelaskan dalam jadual yang dilampirkan.

“Keperluan-keperluan ini berkuatkuasa mulai 8 Disember 2021 dan tindakan pengukuhan ini akan disemak dari semasa ke semasa oleh KKM,” tegasnya.

Sehingga semalam, sebanyak 43 buah negara telah melaporkan kes Covid-19 jangkitan varian Omicron.

Daripada 43 buah negara tersebut, lapan negara telah dikenakan sekatan perjalanan sementara bermula 27 November lalu dan lima negara lain telah melaporkan penularan varian Omicron dalam komuniti.

Negara-negara yang dikenakan sekatan perjalanan sementara adalah Afrika Selatan, Botswana, Eswatini, Lesotho, Mozambique, Namibia, Zimbabwe dan Malawi.

Manakala lima negara penularan Omicron dalam komuniti adalah United Kingdom , Amerika Syarikat,Australia, Perancis dan Norway. – MalaysiaGazette