Home Politik PRN Sarawak: PPBM bincang tindakan ke atas Ali Biju

PRN Sarawak: PPBM bincang tindakan ke atas Ali Biju

Ali Biju

KUALA LUMPUR – Keputusan mengenai nasib Datuk Ali Biju di dalam parti Bersatu masih dalam perbincangan, selepas Naib Presiden Bersatu Sarawak itu membuat keputusan bertanding di Pilihan Raya Negeri (PRN) ke-12 atas tiket Bebas.

Ketua Penerangan Bersatu Datuk Wan Saiful Wan Jan memberitahu Bernama bahawa kenyataan rasmi berkenaan perkara itu dijangka dikeluarkan parti petang ini.

Sebelum ini Presiden Bersatu, Tan Sri Muhyiddin Yassin mengesahkan bahawa parti itu tidak akan bertanding dalam PRN Sarawak pada 18 Dis ini, dan susulan tindakan Ali yang juga Timbalan Menteri Tenaga dan Sumber Asli itu untuk tetap bertanding, menimbulkan teka-teki mengenai tindakan yang akan diambil oleh parti terhadapnya.

Ali yang juga penyandang kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Krian semalam, sah bertanding sebagai calon Bebas dalam usaha mempertahankan kerusi itu untuk penggal ketiga dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Sarawak ke-12.

Ahli Parlimen Saratok berusia 53 tahun itu memenangi DUN Krian ketika bersama PKR pada 2011 dan 2016. – MalaysiaGazette