Home Nasional Rakyat tengah susah, tapi mesyuarat belum buat lagi – Anwar

Rakyat tengah susah, tapi mesyuarat belum buat lagi – Anwar

The Member of Parliament of Port Dickson, Datuk Seri Anwar Ibrahim during the Special Parliament Sitting at the Dewan Rakyat in Kuala Lumpur. PIX: Courtesy of the Department of Information / 26 JULY 2021. RMK12 book
Anwar Ibrahim

KUALA LUMPUR – Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim membidas tindakan kerajaan yang hanya akan melaksanakan mesyuarat Majlis Tindakan Kos Sara Hidup pada 9 Disember ini bagi menangani permasalahan kenaikan harga barang.

Menerusi sesi pertanyaan Menteri di Dewan Rakyat hari ini, Anwar berkata, perkara itu seharusnya tidak berlaku memandangkan ketika ini rakyat sedang menderita dengan pelbagai kenaikan harga barang.

“Keadaan meruncing, krisis kian serius, mesyuarat baru nak dibuat pada 9 Disember.

“Itu menampakkan satu kecuaian dan salah keutamaan oleh kerajaan kerana disebut pelbagai langkah diambil termasuk import 200 kontena ayam, walaupun kita nak tahu siapa yang dapat permit import ini,” katanya menerusi soalan tambahan.

Jelas ahli Parlimen Port Dickson ini lagi, tindakan kerajaan tidak berkesan dan hanya menambah masalah rakyat.

“Kabinet belum bersidang, Jawatankuasa Kos Sara Hidup baru akan bersidang, rakyat masa ini nak mentekedarah (makan) apa dalam keadaan ini?

“Harga ayam standard di Kota Kinabalu untuk sekilogram RM10, Kuching (RM11.50), Kota Bharu (RM9.50), Seremban (RM10).

“Harga cili merah untuk sekilogram di Kuching (RM35) paling mahal di Malaysia, mungkin di ASEAN, Kota Bahru (RM16), Seremban (RM20).

“Kacang buncis harga sekilogram di Kota Kinabalu RM7 kerana ada pengeluaran dan pemasaran, di Kuching RM16, Kota Bharu dan Seremban RM16,” katanya.

Suasana di sekitar pasar borong selepas kenaikan harga barang basah dan kering ketika tinjauan lensa Malaysia Gazette di Pasar Borong Selangor, Seri Kembangan. Foto AMIRUL SHAUFIQ 28 NOVEMBER 2021.

Anwar berkata, jawapan menteri hanya menggambarkan kelemahan ketara pihak kerajaan menangani isu ini.

“Agensi kerajaan harus dikerahkan untuk ambil tindakan-tindakan segera, kerana kos di ladang dan kos di pasar borong atau bandar berbeza.

“Saya lihat baru-baru ini Food Valley, Selangor kos boleh diaturkan, dengan harga RM2.50 sahaja.

“Langkah-langkah ini kerajan tidak ambil tindakan sewajarnya. Menteri yang ramai tidak beri tumpuan kepada isu ini,” katanya.

Terdahulu, pertanyaan tersebut dijawab Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Ekonomi), Datuk Seri Mustapa Mohamed dengan menyebut beberapa tindakan yang telah dilakukan kerajaan sejak 4 Disember lalu.

“Mesyuarat yang akan diadakan pada 9 Disember ini akan membincangkan dan mengambil langkah-langkah menyeluruh dan bersepadu menangani isu kos sara hidup rakyat.

“Jangka sederhana dan panjang akan dibentangkan oleh kementerian-kementerian termasuklah kebergantungan kos import, buruh asing, makanan, teknologi dan pertanian juga penyelidikan dan pembangunan (R&D),” katanya.

Dalam pada itu, Mustapa juga bersetuju dengan angka-angka kenaikan harga yang disebut Anwar dan akur dengan isu terbabit.

“Kerajaan memandang serius terhadap perkara ini dan saya tegaskan, kami memberi keutamaan yang tinggi hal-hal berkaitan kenaikan harga.

“Kita akur perasaan rakyat di bawah dan untuk maklumat, jika tahun lalu mesyuarat diadakan sebanyak dua kali tetapi pada tahun ini sudah tiga kali ia diadakan,” katanya.

Katanya, Jabatan Perangkaan memantau setiap hari harga sayur dan akan dilaporkan kepada kerajaan.

“Kira-kira 30 hingga 40 jenis sayur dipantau termasuk harga cili dan lain-lain lagi.

“Saya tegaskan sekali lagi, ini adalah masalah besar yang dihadapi rakyat dan kita akur dan sedar betapa pentingnya ia ditangani dalam mesyuarat Jemaah Menteri juga sering ditekankan perkara ini,” katanya.

Jelasnya, semua perkara selain harga barang, buruh asing dan kartel akan dibincangkan pada Khamis ini. – MalaysiaGazette