Home Nasional Dewan Negara garis 20 bidang tugas untuk juara isu rakyat

Dewan Negara garis 20 bidang tugas untuk juara isu rakyat

Yang Dipertua Dewan Negara, Tan Sri Rais Yatim. foto HAZROL ZAINAL, 02 SEPTEMBER 2020.

KUALA LUMPUR – Sebanyak 20 bidang tugas digariskan untuk dijadikan panduan oleh ahli-ahli Dewan Negara sebagai langkah dalam “menjuarakan” isu rakyat.

Yang Dipertua Dewan Negara, Senator Tan Sri Dr Rais Yatim berkata, sebagai anggota legislatif tertinggi, setiap daripada Ahli Dewan Negara perlu merubah sikap dan imej masing-masing agar persepsi yang kurang elok dan sebelum ini dikaitkan dengan Dewan Negara dapat dibersihkan dengan penglibatan lebih aktif para senator dalam melaksanakan bidang-bidang tugas tersebut.

Katanya, jumlah senarai tugas itu juga akan ditambah dari semasa ke semasa.

“Antara bidang tugas berkenaan adalah memenuhi inti sari sumpah jawatan di bawah Jadual Keenam, Perlembagaan Persekutuan, mensohorkan kepakaran dan kesungguhan membantu rakyat serta berusaha gigih dalam bidang kepakaran misalnya sebagai doktor, peguam, jurutera, pertanian, pendidikan, seni budaya dan lain-lain seperti terjemahan dari Artikel 45 (2) Perlembagaan Persekutuan.

“Bidang tugas lain adalah memilih arena tumpuan dalam sektor kerajaan sebagai matlamat utama perbahasan atau berinteraksi secara rasmi seperti pendidikan, undang-undang, industri makanan, industri kreatif, kesamarataan serta keselamatan dan pertahanan; menyantuni hal ehwal kebajikan dan kesejahteraan rakyat sebagai fokus utama serta mewujudkan kumpulan Senator yang kuat dan berpengaruh untuk membawa prinsip bina negara dan mengukuhkan Rukun Negara dalam perkhidmatan,” katanya.

Beliau berkata demikian sebagai pemasyuharan sempena pembukaan Mesyuarat Kedua Penggal Keempat Parlimen Keempat Belas 2021 di Dewan Negara hari ini.

Terdahulu, Rais memaklumkan, sesi mesyuarat Dewan Negara yang lalu juga telah sebulat suara meluluskan Usul Transformasi Parlimen dengan objektif utamanya untuk memastikan konsep pengasingan kuasa antara legislatif, eksekutif dan kehakiman benar-benar diterjemahkan dalam erti kata yang sebenar-benarnya.

Ketika ini konsep pengasingan kuasa di antara legislatif dan eksekutif itu belum dilunaskan sepenuhnya, katanya.

Dalam hal itu beliau berkata, Kabinet telah bersetuju untuk meminda dan memperkasakan Akta Majlis Parlimen (Keistimewaan dan Kuasa) 1952 serta mengembalikan semula Akta Perkhidmatan Parlimen 1963.

Katanya, pembentukan Kod Etika Ahli Parlimen dan pindaan ke atas beberapa Peraturan Mesyuarat kedua-dua Dewan juga turut dipersetujui.

Bagaimanapun beliau berkata, apa-apa proses instrumen kemudiannya akan ditunggu dengan penuh harapan dan Ahli Dewan Negara perlu menjurus kepada pemikiran bernas tersebut supaya berjaya.

“Pastinya di pihak legislatif, kita memahami eksekutif memerlukan sedikit masa untuk menterjemahkan segala persetujuan tersebut kepada realiti, tetapi perlu ditegaskan bahawa Institusi legislatif khususnya Dewan Negara selaku Dewan Tertinggi Perundangan Negara memerhati dan meneliti perihal fungsi serta kedudukan masing-masing.

“Tidaklah sepatutnya dibenarkan berlaku kelewatan atau pun tempoh masa yang begitu panjang untuk cita-cita murni rakyat ini diterjemahkan kepada realiti sebenar,” ujarnya. – MalaysiaGazette