KUALA LUMPUR – Datuk Hattan sekali lagi diuji dengan pemergian ibu tercinta, Allahyarham Hindon Md Sani, 83, yang menghembuskan nafas terakhir akibat penyakit jantung di Hospital Kajang, di sini semalam.
Hattan yang popular dengan lagu Rendang Tak Berbuah dan Memburu Rindu sebelum itu kehilangan abang iparnya kelmarin.
Dia yang berusia 56 tahun itu berkongsi khabar duka menerusi laman Facebook miliknya.
“Bonda tercinta saya pergi menemui penciptanya. Ya Allah, ampunkanlah bondaku Ya Allah,” tulisnya.
Perkongsian itu turut mendapat simpati daripada rakan artis dan peminat sambil mendoakan Hattan tabah menghadapi ujian. – MalaysiaGazette