KUALA LUMPUR – Pasangan pelakon Kamal Adli dan Uqasha Senrose telah bernikah dalam satu majlis tertutup yang diadakan di sebuah lokasi di Janda Baik, Pahang pada 5 November lalu.
Pasangan itu berkongsi kenangan hari istimewa itu ketika majlis pengumuman perkahwinan mereka semalam.
Kamal dan Uqasha juga memberitahu, mereka akan memilih Tanah Suci Mekah dengan mengerjakan ibadah umrah sebagai lokasi pra bulan madu.
“Kalau bercerita tentang umrah, semasa saya pergi kali kedua pada bulan puasa, antara doa saya adalah mengenai pasangan. Memang saya ini tidak sempurna, tetapi doa saya telah dimakbulkan Allah.
“Jadi, saya pun ajak Kamal pergi buat umrah sebagai tanda syukur. Walaupun kami akan terbabit dengan program TV membabitkan bulan madu, saya cakap kat Kamal yang itu kita pergi yang lain. Yang ini (umrah) kita akan tetap pergi,” ujarnya.
Sementara itu, Kamal pula yang akan pertama kali menjejakkan kaki ke Mekah menyatakan isterinya itu memang sangat teruja untuk mengerjakan ibadah umrah bersama-sama.
“Uqasha pun sebelum ini ada cerita yang banyak doa-doanya termakbul sewaktu mengerjakan umrah dan itu yang membuat saya pun lebih bertambah seronok.
“Apatah lagi jodoh kami berdua juga adalah hasil doa dia (isteri). Sudah tentu pun rasa teruja untuk bersama-sama ke sana dengan dia,” ujarnya. – MalaysiaGazette