Home Nasional Mahkamah benar penangguhan hukuman Najib

Mahkamah benar penangguhan hukuman Najib

Keadaan perkarangan Istana Kehakiman menjelang keputusan rayuan kes penyelewengan dana SRC International Sdn Bhd yang membabitkan bekas perdana menteri, Datuk Seri Najib Razak di Istana Kehakiman, Putrajaya. Foto HAZROL ZAINAL, 08 DISEMBER 2021.

PUTRAJAYA – Mahkamah Rayuan di sini hari ini membenarkan permohonan pembelaan bagi menangguhkan pelaksanaan hukuman penjara 12 tahun dan denda RM210 juta terhadap Datuk Seri Najib Razak.

Ini berikutan permohonan Najib untuk membuat rayuan di Mahkamah Persekutuan dalam masa terdekat.

Hakim Mahkamah Rayuan, Datuk Abdul Karim bersama dua lagi panel hakim iaitu, Datuk Has Zanah Mehat dan Datuk Vazeer Alam Mydin Meera membenarkan permohonan tersebut selepas mendengar hujah pihak-pihak terlibat.

Bagaimanapun panel hakim telah meletakkan syarat sama yang ditetapkan oleh Mahkamah Tinggi termasuklah perayu (Najib) perlu melapor diri ke balai polis berdekatan setiap dua kali sebulan dan jaminan sebanyak RM2 juta.

Wang jamin tersebut telah dibayar selepas beliau disabitkan di Mahkamah Tinggi sementara menunggu rayuan.

“Sementara menunggu rayuan di mahkamah persekutuan, mahkamah mengenakan syarat penangguhan yang sama diberikan di mahkamah tinggi sebelum ini iaitu jaminan RM2 juta dengan dua penjamin.

“Juga beliau perlu melapor diri ke balai polis berhampiran dua kali sebulan dan menyerahkan pasport kepada mahkamah,” katanya sebulat suara.

Sebentar tadi, Mahkamah Rayuan telah memutuskan untuk mengekalkan sabitan salah dan hukuman penjara 12 tahun serta denda RM210 juta selepas menolak rayuan Najib sebelum ini.

Rayuan di Mahkamah Persekutuan oleh Najib juga merupakan peluang terakhir untuk membatalkan semua sabitan dan hukuman yang dikenakan terhadapnya. –MalaysiaGazette