KUALA LUMPUR – Seramai 16,914 bekas pesakit Covid-19 yang discaj dari hospital diberi temujanji untuk mendapatkan rawatan susulan di fasiliti kesihatan bagi pemantauan dan rawatan bagi gejala ‘Long Covid’.
Timbalan Menteri Kesihatan I, Datuk Dr Noor Azmi Ghazali berkata, Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) akan terus memantau dan memberi rawatan kepada pesakit ‘long Covid’ yang mempunyai indikasi, berdasarkan Garis Panduan Pengurusan Covid-19 dan memastikan akses perubatan yang mencukupi kepada golongan berkenaan.
“Bagi pesakit yang mempunyai penyakit kronik lain seperti darah tinggi, diabetes dan sebagainya, mereka akan diminta untuk meneruskan rawatan susulan di fasiliti kesihatan seperti yang telah dijadualkan sebelum mereka dijangkiti Covid-19.
“Sekiranya mereka tidak mempunyai rawatan susulan biasa, mereka akan dirujuk kepada pakar tertentu dan diberikan temujanji susulan.
“Bekas pesakit Covid-19 juga boleh mendapatkan rawatan di fasiliti kesihatan awam dan swasta yang berhampiran secara walk-in sekiranya mempunyai sebarang gejala,” katanya pada sesi pertanyaan Menteri di Dewan Rakyat, hari ini.
Beliau berkata demikian menjawab pertanyaan Lukanisman Awang Sauni (BN- Sibuti) yang bertanya tentang langkah kementerian dalam memastikan bekas pesakit positif Covid-19 yang mengalami ‘long Covid’ mendapat akses perubatan yang mencukupi di seluruh negara serta adakah data mengenai jumlah ‘Long Covid’ melebihi 12 minggu setakat Oktober 2021.
Sementara itu, tambah beliau, pesakit yang mengalami gejala dan simptom teruk semasa dalam tempoh pemantauan dan memerlukan rawatan segera akan dimasukan ke hospital bagi mendapatkan rawatan lanjut.
Dr Noor Azmi menambah, KKM juga telah menggariskan strategi kesiapsiagaan dari segi kelengkapan logistik dan tenaga kerja di semua fasiliti kesihatan bagi memberikan akses perubatan yang mencukupi kepada semua bekas pesakit Covid-19. – MalaysiaGazette