Home Dunia Suspek bunuh Jamal Khashoggi ditahan di Paris

Suspek bunuh Jamal Khashoggi ditahan di Paris

Khaled Aedh Alotaibi. foto Middle East Eye

PARIS – Seorang lelaki Arab Saudi yang disyaki terlibat dalam pembunuhan wartawan Jamal Khashoggi telah ditahan di Perancis.

Khaled Aedh Alotaibi telah ditangkap di Lapangan Terbang Charles de Gaulle di Paris pada hari Selasa, sumber polis memberitahu BBC.

Dia dipercayai salah seorang daripada 26 warga Arab Saudi yang dikehendaki Turki atas pembunuhan itu.

Seorang pegawai Arab Saudi kemudiannya berkata, penahanan itu adalah kes identiti yang salah dan mereka yang terlibat dalam pembunuhan itu telah disabitkan di negara itu.

Alotaibi, seorang bekas pengawal diraja Arab Saudi berusia 33 tahun, sedang dalam perjalanan atas namanya sendiri dan diletakkan dalam tahanan kehakiman, kata radio RTL.

Khashoggi, seorang pengkritik terkemuka Kerajaan Riyadh, dibunuh di konsulat Saudi di Istanbul pada Oktober 2018.

Wartawan Washington Post itu telah terbunuh dalam “operasi ” oleh sepasukan ejen yang dihantar untuk memujuknya kembali ke Arab Saudi.

Tetapi pegawai Turki berkata, ejen bertindak atas arahan daripada peringkat tertinggi Kerajaan Arab Saudi.

Pembunuhan itu menggemparkan dunia, sekali gus merosakkan imej pemerintah de facto Arab Saudi, Putera Mahkota Mohammed bin Salman walaupun dia telah menafikan sebarang peranan dalam pembunuhan tersebut.

Mahkamah Arab Saudi mensabitkan lapan orang yang tidak dinamakan berhubung pembunuhan itu pada 2019.

Lima daripada mereka didapati bersalah terlibat secara langsung dalam pembunuhan itu dan menjatuhkan hukuman mati yang kemudiannya ditukar kepada hukuman penjara 20 tahun, manakala tiga yang lain dipenjarakan selama tujuh hingga 10 tahun kerana bersekongkol dengan perlakuan jenayah itu.

Namun perbicaraan yang dilaksanakan oleh Arab Saudi telah ditolak oleh Pelapor Khas Pertubuhan Bangsa-Bangsa ketika itu Agnès Callamard kerana bertentangan dengan amalan pengadilan.

Dalam laporan yang dikeluarkan pada 2019, Callamard menyimpulkan bahawa Khashoggi adalah “mangsa hukuman mati yang disengajakan dan dirancang” yang mana Kerajaan Arab Saudi bertanggungjawab.

Laporan Callamard ada menyebut, pendakwa raya Arab Saudi mengarahkan penahanan Alotaibi sebagai sebahagian daripada siasatan ke atas pembunuhan Khashoggi, tetapi akhirnya memutuskan untuk tidak mendakwanya.

Laporan itu turut menamakan Alotaibi sebagai anggota Pengawal Diraja, satu unit pasukan tentera Arab Saudi.

Dia dilihat berada di hadapan Putera Mahkota Salman semasa lawatan 2017 ke Amerika Syarikat, kata laporan itu.

Ia mengatakan Alotaibi tiba di Istanbul pada 2 Oktober dan dia berada di dalam kediaman Konsulat jeneral Arab Saudi semasa pembunuhan Khashoggi dan bukan di dalam konsulat.

Arab Saudi telah menolak permintaan untuk mengekstradisi Alotaibi ke Turki, yang mana dia sedang dibicarakan tanpa hadir di Istanbul atas tuduhan membunuh.

Tetapi pada hari Selasa, sumber polis mengesahkan pihak berkuasa Perancis telah melaksanakan waran tangkap Turki.

Alotaibi telah ditangkap ketika dia hendak menaiki penerbangan ke Riyadh, ibu negara Arab Saudi.

Callamard, yang kini Setiausaha Agung Amnesty International menerusi ciapannya berkata, penahanan itu “boleh menjadi satu kejayaan besar dalam usaha mencari keadilan”.

Hatice Cengiz, tunang Khashoggi pada masa pembunuhannya, mengalu-alukan penahanan itu dan menggesa Perancis untuk “membicarakannya atas jenayahnya, atau mengekstradisi Alotaibi ke negara yang mampu dan sanggup” berbuat demikian. – BBC