Home Dunia Doktor gigi guna tangan palsu untuk dapat suntikan vaksin

Doktor gigi guna tangan palsu untuk dapat suntikan vaksin

Doktor gigi antivaksin di Itali cuba menipu jururawat dengan menunjukkan tangan palsu untuk suntikan vaksin bagi mendapatkan pasport vaksinasi penuh untuk bekerja.gambar Kredit: EPA/REX

ROM – Seorang lelaki antivaksin di Piedmont yang menerima temu janji untuk pengambilan vaksin Covid-19 memakai tangan palsu sebagai mengelak menerima suntikan.

Doktor gigi itu berharap akan mendapatkan pasport vaksin yang disyaratkan kerajaan Itali terhadap rakyatnya.

Lelaki itu menghadiri janji temu di sebuah klinik dengan memakai tangan palsu untuk menipu jururawat yang bertugas.

Suspek dilaporkan cuba memperdaya jururawat dengan menyembunyikan tangan palsu di sebalik bajunya.

Individu itu hadir ke pusat vaksinasi di Piedmont dengan harapan untuk memohon pas hijau iaitu sijil vaksinasi Covid-19 yang diwajibkan untuk urusan harian termasuk ke tempat kerja.

Namun jururawat Filipia Bua berasa pelik dan curiga selepas lelaki itu menunjukkan lengan yang sebenarnya tangan palsu yang dibeli secara dalam talian.

Jururawat bertugas mengesan warna kulit ‘tangan’ lelaki itu berlainan dan kelihatan pelik.

“Saya terus meminta lelaki itu menunjukkan tangan sebelahnya sebelum mendapati warna kulit berlainan dan dapat dikesan ia sebenarnya tangan palsu sebagai taktik elak suntikan vaksin,” katanya lagi.

Lelaki itu dikenal pasti sebagai Guido Russo berusia 57 tahun itu kemudiannya meminta jururawat itu memberi suntikan pada tangan palsu walaupun tembelangnya sudah diketahui.

Namun, jururawat berkenaan memarahinya dan enggan menyuntik vaksin kepadanya.

Kemudian lelaki itu difahamkan telah membantah secara terbuka mengenai kegunaan pasport vaksin secara mandatori terhadap rakyat oleh kerajaan Itali.

Semasa dirakam percakapan, lelaki itu memberitahu polis yang beliau tidak percaya dengan pengambilan vaksin dan tidak mahu mengambilnya tetapi mahu mendapatkan pasport hijau vaksin untuk bekerja.

Rakyat Itali diwajibkan mengambil suntikan vaksin dan memiliki pasport hijau vaksinasi lengkap sebagai syarat utama dan mereka yang berdegil adalah dilarang kerajaan daripada menggunakan pengangkutan awam, bekerja atau memasuki mana-mana restoran, bar dan tempat tumpuan ramai di negara itu. – Agensi