Home Nasional Kekalkan Melayu Kampung Baru, tingkatkan kemudahan prasarana

Kekalkan Melayu Kampung Baru, tingkatkan kemudahan prasarana

Mohd Azmi Abdul Hamid

KUALA LUMPUR – Konsep pelan induk pembangunan Kampung Baru oleh Perbadanan Pembangunan Kampung Baru (PPKB) sewajarnya menggunakan pendekatan mengekalkan warga Melayu di kawasan tersebut.

Ia sekaligus perlu meningkatkan kemudahan prasarana, kata Presiden Teras Pengupayaan Melayu (Teras), Mohd Azmi Abdul Hamid.

Menurutnya, konsep membeli dengan mengambil alih tanah di Kampung Baru dan kemudian membiarkan warganya mencari penempatan di tempat lain tidak wajar.

Ini kerana banyak penempatan orang Melayu di ibu negara kini sudah tidak lagi wujud apabila pendekatan membeli dan mengeluarkan orang Melayu dari tempat tersebut digunakan, katanya.

Menurutnya, walaupun kerajaan melalui PPKB sudah merancang pembangunan di kawasan tersebut secara parcel namun yang penting ia tidak berkonsep memindahkan penduduk Melayu dikeluarkan dari perkampungan tersebut.

“Kampung Kerinchi, Kampung Abdullah Hukum adalah contoh bila orang Melayu akhirnya terpaksa tinggal di flat yang sesak dan tidak selesa setelah dipindahkan dari kawasan asal mereka.

“Rancangan Malaysia Ke-12 yang dikatakan memperuntukkan RM 1.5 bilion untuk membina dan meningkatkan infrastruktur di Kampung Baru itu wajar dilaksanakan.

“Bertahun-tahun Kampung Baru menempatkan orang Melayu di kawasan itu menjadikan ia semakin padat dan susunan perumahan tidak lagi teratur sementara insfrastruktur asas tidak lagi memadai.

“Apa yang perlu ialah Kampung Baru disusun semula secara berperingkat yang tetap mengekalkan orang Melayu disitu sebagai kampung dalam kota yang unik,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Mohd Azmi berkata, ciri perkampungan orang Melayu di tengah kota Kuala Lumpur yang bersih, selesa dan maju seharusnya dirancang dengan baik agar ia tidak terus melenyapkan khazanah hartanah Melayu.

Tambahnya, langkah yang terbaik ialah menyusun semula perkampungan tersebut secara berperingkat dengan lebih teratur dan meningkatkan prasarana asas yang lebih sempurna agar warga Melayu dapat terus kekal di Kampung Baru itu dengan maju dan selesa. – MalaysiaGazette