KUALA LUMPUR – Sebanyak 3,000 keluarga dalam kategori miskin tegar di Wilayah Persekutuan akan dibantu untuk mereka mampu mencari sumber pendapatan dalam tempoh enam bulan lagi.
Menurut Menteri Wilayah Persekutuan Datuk Seri Shahidan Kassim, pihaknya akan mengadakan pelbagai program untuk membantu golongan berkenaan mencari pendapatan sendiri seterusnya tidak lagi akan bergantung dengan bantuan semata-mata.
“Dalam masa yang sama, kita sedang beri perhatian kepada 3,000 orang miskin tegar kerana pendapatan mereka di bawah garis miskin tegar. Di antaranya sumbangan daripada agensi Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKN), Baitulmal dan juga Yayasan Wilayah Persekutuan (YWP).
“Jadi kali ini, DBKL (Dewan Bandaraya Kuala Lumpur) akan terlibat sama untuk memastikan mereka ini melepasi garis ini dan dalam masa yang sama untuk tempoh enam bulan mereka ini mestilah dicari jalan untuk mendapatkan sumber pendapatan kalau kita terus memberi sumbangan tanpa usaha mereka, kurang manis,” katanya.
Terdahulu Shahidan merasmikan Program Dapur Bandaraya di Perumahan Awam Seri Tioman 1, hari ini.
Jelasnya, program anjuran DBKL dengan peruntukan RM650,000 berkenaan dijangka akan memanfaatkan 74,000 penerima.
Ujar Shahidan, Program Dapur Bandaraya menyasarkan 1,560 pek makanan setiap hari.
“Ia selaras dengan pendekatan Kuala Lumpur dalam mencapai Matlamat Pembangunan Mampan (SDG) iaitu SDG 2: Zero Hunger, selari Aspirasi Keluarga Malaysia,” katanya lagi.-MalaysiaGazette