KUALA LUMPUR – Proses pendengaran kedua pembangunan semula Kampung Sungai Baru di sini ditangguhkan sehingga tahun depan.
Ia supaya sesi libat urus dengan pemilik tanah dan unit flat dapat diteruskan, kata Menteri Wilayah Persekutuan Datuk Seri Shahidan Kassim.
Menurutnya, dalam tempoh itu, permohonan dan bantahan pemilik tanah dan flat di situ akan didengar sekaligus dipertimbangkan.
“Saya telah memohon dengan Ketua Pengarah Tanah dan Galian (JKPTG) Wilayah Persekutuan. untuk sesi hearing ditanggungkan sehingga tahun depan. KPTG telah bersetuju, dan sementara hearing ini tertangguh saya akan buat libat urus dengan tuan tanah dan pemaju,” katanya ketika sidang media selepas merasmikan Dapur Bandaraya di Perumahan Awam Seri Tioman 1 hari ini.
Mengulas lanjut, Shahidan menafikan pembangunanan Kampung Sungai Baru ini melibatkan seluruh kawasan Kampung Baru.
Sebaliknya, ujar Shahidan, Kampung Sungai Baru hanyalah terletak berdekatan dengan Kampung Baru.
Namun beliau menyifatkan, isu berkenaan digembar-gemburkan menerusi pelbagai dakwaan yang disebarkan ke peringkat nasional.
“Ini bukan melibatkan Kuala Lumpur tapi Sungai Baru dan tidak melibatkan pun Kampung Baru.
“Kepada orang lain yang simpati dan sibuk tentang apa yang berlaku saya ucapkan terima kasih tapi biarlah saya uruskan dengan tuan tanah dan pemaju itu lebih baik saya tidak perlu umum kepada mana-mana pihak sehingga selesai,” kata Shahidan.
Semalam Perbadanan Pembangunan Kampong Bharu (PKB) menerusi kenyataan berkata, pemilik tanah dan unit flat di kawasan Kampung Sungai Baru boleh mengemukakan bantahan sekiranya tidakk berpuas hati dengan jumlah pampasan yang ditawarkan.
Dalam masa yang sama PKB turut menafikan dakwaan menyatakan pemilik perlu mengosongkan rumah dalam tempoh 42 hari (6 minggu).
Untuk rekod, sejumlah 328 unit membabitkan 64 lot teres dan 264 unit flat terlibat dalam projek pembangunan semula itu.
Pihak pemaju telah dipelawa oleh Persatuan Pemilik Hartanah Kampung Sungai Baru (PPHKSB) pada tahun 2016 untuk mengemukakan cadangan pembangunan di kawasan Sungai Baru.
Kemudian pada 4 Disember lalu, sekumpulan penduduk sekitar kawasan itu sekali lagi melakukan bantahan terhadap projek pembangunan semula kawasan tersebut yang dianggap berat sebelah.-MalaysiaGazette