Home Nasional Mahkamah Tinggi benarkan Ketua Geng Sakai diikat jamin RM50,000

Mahkamah Tinggi benarkan Ketua Geng Sakai diikat jamin RM50,000

The suspects of Sakai Gang arrive at the Kuala Lumpur Courts Complex to be charged. PIX: SYAFIQ AMBAK / MalaysiaGazette / 17 AUGUST 2021
The suspects of Sakai Gang arrive at the Kuala Lumpur Courts Complex to be charged. PIX: SYAFIQ AMBAK / MalaysiaGazette / 17 AUGUST 2021 IMBAS SEMULA. Suspek yang disyaki ahli kumpulan jenayah terancang dikenali sebagai 'Geng Sakai' tiba untuk dituduh di Kompleks Mahkamah Kuala Lumpur. Foto SYAFIQ AMBAK, 17 OGOS 2021.

KUALA LUMPUR – Mahkamah Tinggi di sini hari ini  membenarkan permohonan ikat jamin ketua kumpulan Geng Sakai sebanyak RM50,000 bersama dua penjamin sementara menunggu perbicaraan pada Mac tahun depan.

Ketua Geng Sakai yang dikaitkan dengan kegiatan kumpulan jenayah terancang, Rosli Sahak sebelum itu ditahan dan didakwa atas pertuduhan melibatkan kes keselamatan di bawah Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) 2012 (SOSMA).

Permohonan tersebut telah difailkan peguam mewakili suspek, Datuk Sheelan Arjunan memohon ikat jamin memandangkan anak guamnya sudah mengaku tidak bersalah dan mahu dibicarakan.

Hakim Mahkamah Tinggi, Datuk Collin Lawrence Sequerah yang membuat ketetapan itu turut mengenakan beberapa syarat tambahan termasuk mahu Rosli menyerahkan pasport  kepada mahkamah sehingga tamat kes.

Collin turut memerintahkan Rosli melaporkan diri ke balai polis berdekatan setiap minggu selain larangan  mendekati atau menganggu saksi-saksi pendakwaan terlibat dalam kes yang sama.

Sheelan (gambar bawah) yang bercakap dengan MalaysiaGazette memberitahu, perbicaraan penuh akan dijalankan di hadapan Collin pada 1 Mac tahun depan.

”Hakim telah memerintahkan anak guam saya untuk melapor diri setiap minggu di balai polis berdekatan selain serahkan pasport, kita akan ikut semua perintah mahkamah dan buktikan anak guam saya,” ujarnya.

Pendakwaan dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya, Maryam Jamielah Manaff, Nur Ainaa Ridzwan dan Rajdeep Singh Bhupinder Singh.

Pada September tahun ini, seramai  22 lelaki termasuk Rosli mengaku tidak bersalah di Mahkamah Tinggi di sini atas pertuduhan menyertai kumpulan jenayah terancang geng sakai enam tahun lalu.

Sebaliknya kesemua suspek itu termasuk Rosli memohon dibicarakan selepas pertuduhan dibaca dalam bahasa Melayu dan Tamil di hadapan Collin.

Mengikut pertuduhan, kesemua tertuduh yang berusia antara 18 dan 47 tahun, didakwa melakukan perbuatan itu di Flat Sri Selangor di sini antara Januari 2015 dan Jun lalu.

Mereka didakwa mengikut Seksyen 130V(1) Kanun Keseksaan dan boleh dihukum di bawah seksyen sama yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 20 tahun,  jika sabit kesalahan.

Sebelum itu, pada Jun lalu, media melaporkan Polis Diraja Malaysia (PDRM) berjaya menumpaskan satu kumpulan jenayah terancang yang dikenali sebagai Geng Sakai.

Kumpulan yang aktif melakukan jenayah sejak tahun 2012 di sekitar ibu negara itu diketuai seorang lelaki tempatan berusia 47 tahun dikenali sebagai Sakai.

Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Azmi Abu Kassim berkata, keahlian kumpulan tersebut dianggarkan seramai kira-kira 50 orang. – MalaysiaGazette