SHAH ALAM – Sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Selangor hari ini sebulat suara meluluskan usul pelaksanaan Dasar Belia Selangor 2020 bagi memperkasakan gerakan belia dalam tempoh 10 tahun akan datang.
Usul itu yang dikemukakan Exco Pembangunan Generasi Muda, Sukan dan Pembangunan Modal Insan, Mohd Khairuddin Othman dibahas oleh sembilan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) dari kerajaan dan pembangkang.
Usul dasar itu bagi membolehkan kerajaan negeri merancang, merangka untuk membangun serta memajukan golongan belia memandangkan mereka layak menjadi pendaftar pengundi dan calon pada pilihan raya umum akan datang.
Dalam penggulungannya, beliau mengakui wujud keserabutan dalam usaha mendekati belia kerana dasar sedia ada menyebabkan kerajaan negeri tidak tahu untuk memberi fokus.
“Kita ada keserabutan dalam mendekati belia, kita tidak tahu fokus kita harus di mana, kita nak bermula di mana. Oleh itu kita akan bermula dengan pelaksanaan Dasar Belia Selangor 2020.
“Saya tahu ini bukanlah satu kitab yang lengkap, yang sempurna. Saya tahu ini memerlukan pelaksanaan yang memulakan cabaran ataupun political will yang sangat besar.
“Saya juga tahu cabaran untuk kita maju ke hadapan itu ada cabarannya dari segi undang-undang disebabkan negara kita melaksanakan sistem dua negara iaitu sistem persekutuan dan sistem negeri,” katanya dalam sesi penggulungan usul pelaksanaan Dasar Belia Selangor 2020 di sidang DUN hari ini.
Menurut Mohd Khairuddin, Selangor tidak boleh bergantung harap kepada Kementerian Belia dan Sukan (KBS) semata-mata kerana sehingga sekarang tidak ada rumusan yang tepat berhubung hala tuju dan masa depan golongan itu.
Katanya, dalam tempoh terdekat ini sahaja tiga menteri di KBS bersilih ganti iaitu daripada Syed Saddiq Syed Abdul Rahman kepada Datuk Seri Rizal Merican Naina Merican dan terbaharu, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu.
“Tiga menteri tukar dalam tempoh tiga tahun, di mana hala tuju belia? Tidak ada. Maka, kita tidak boleh tunggu,” katanya.
Berhubung pelaksanaan had umur mengundi dari 21 kepada 18 tahun, katanya, Selangor paling ramai berlaku pertambahan berbanding negeri lain.
Katanya, Selangor akan menerima pertambahan sebanyak 275,000 pengundi baharu, diikuti Johor (188,000), Sarawak (138,000), Perak (128,000), Kedah (120,000) dan paling sedikit Perlis iaitu 13,000 pengundi.
“Kalau kita nak tunggu negeri lain buat dulu (dasar belia), Selangor akan ketinggalan. Sebab itu kita mesti buat dasar berbeza dari kaedah dan pendekatan. Dasar kita mesti berbentuk inklusif, bukan eksklusif dalam mendekati belia.
“Kita juga turut berdepan cabaran yang mana sekarang ini 72 peratus belia tidak berminat politik dan hanya 27 peratus sahaja minat politik.
“Cabaran kita termasuk semua ADUN ialah bagaimana hendak menukar 72 peratus yang tidak berminat ini kepada minat politik. Ini peranan kita semua,” katanya. – MalaysiaGazette