KUALA LUMPUR – Struktur sesi persekolahan negara yang baru sahaja dibuka boleh ditambah baik lagi selepas ini, kata Timbalan Menteri Pendidikan I, Datuk Dr. Mah Hang Soon.
Ini kerana pembukaan sekolah sekarang bagi membolehkan pihak sekolah merancang dan melaksanakan aktiviti pemulihan dengan rapi, katanya.
“Kementerian bersedia melaksanakan penambahbaikan kepada sesi persekolahan selaras dengan keperluan semasa bagi memastikan murid mendapat akses pendidikan yang berkualiti.
“Kita menyedari sesi persekolahan secara bersemuka untuk tahun 2020 dan 2021 tidak dapat dilaksanakan seperti mana kebiasaan. Oleh yang demikian, kementerian telah membuat ketetapan untuk melanjutkan sesi persekolahan tahun 2021 sehingga Februari 2022.
“Pelanjutan sesi ini membolehkan pihak sekolah merancang dan melaksanakan aktiviti pemulihan, pengukuhan dan pengayaan secara intensif bagi meningkatkan kesediaan murid mengikuti tahun persekolahan berikutnya,” katanya di Dewan Rakyat ketika sesi Pertanyaan-Pertanyaan Menteri di sini hari ini.
Beliau menjawab pertanyaan Cha Kee Chin (PH-Rasah) yang meminta kementerian menjelaskan pendiriannya dalam menetapkan bahawa sesi persekolahan baru yang akan bermula pada Mac setiap tahun seperti yang telah diumumkan sebelum ini.
Han Soon memberitahu, penetapan tersebut dibuat untuk melancarkan sesi persekolahan tahun 2022 dan 2023 bermula pada Mac depan.
“Ketetapan ini adalah berdasarkan peruntukan dalam Akta Pendidikan 1996 (Akta 550) berhubung bilangan hari persekolahan. Sesi persekolahan ini akan dijadikan sebagai panduan dalam menetapkan sesi persekolahan pada tahun seterusnya.
“Kementerian Pendidikan akan mengambil kira pelbagai faktor termasuk situasi semasa dan maklum balas daripada pihak yang berkepentingan,” katanya. – MalaysiaGazette